Payudara Keras & Sakit Walau Belum Kahwin

Saya berumur 24 tahun dan belum berkahwin. Masalah saya membabitkan payudara. Setiap kali ketika didatangi haid, payudara saya tegang dan menjadi keras sehingga kadangkala ia menyakitkan.

Apabila berakhirnya haid, payudara kembali normal. Adakah keadaan ini biasa bagi gadis seperti saya?

Anis,
Selangor

Kebiasaannya perubahan ini dialami seawal seminggu sebelum kedatangan haid. Ini dipengaruhi paras hormon estrogen dan progesteron di dalam darah yang dihasilkan oleh kantung telur.

Paras ini berubah mengikut waktu dalam kitaran haid seseorang wanita. Payudara menjadi lebih 'penuh' atau tegang dan puting payudara pula menjadi sensitif terhadap sentuhan. Perkara ini normal, cuma kadangkala ada wanita yang mengalami gangguan kesakitan yang berlebihan. Keadaan ini tidak dialami semua wanita.

Bagaimanapun, bagi wanita yang mengalami keadaan ini, ia satu petanda pada kitaran haid wanita itu subur ovarinya iaitu berlakunya ovulasi.

Anda boleh membantu mengurangkan kesakitan dengan memakai pakaian dalam dengan saiz yang lebih besar pada hari berkenaan serta tidak memakai pakaian yang ketat. Elakkan berbaring meniarap dengan perut atau dada menyentuh lantai dan seumpamanya. -Dr Adilah Ahmat/myMetro