Gambar hiasan |
JERTIH - Penduduk dua kampung, dekat sini, berada dalam keresahan
apabila kejadian histeria yang bermula di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit
Puteri minggu lalu dikatakan berlaku pula di kampung mereka.
Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Bukit Puteri, Ghazali
Omar berkata, dua minggu lalu, 10 murid sekolah berkenaan tiba-tiba
meracau dan keadaan itu berlarutan selama tiga hari.
Menurutnya, kejadian mula berlaku pada 16 Oktober lalu dan berterusan dua hari berikutnya pada 19 dan 20 Oktober.
"Pada hari pertama kira-kira 10 murid kebanyakan perempuan tahun 4 dan 5 histeria.
"Pada hari kedua, kira-kira enam murid daripada 10 murid yang sama
diserang histeria lagi, manakala pada hari ketiga pula melibatkan murid
lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Solat Hajat di SK Bukit Puteri
anjuran bersama PIBG dan pihak sekolah, malam kelmarin.
Solat hajat berkenaan yang turut dihadiri guru besar, Hassan Mat Arshad
bertujuan agar kejadian histeria tidak berulang di sekolah tersebut.
Ghazali berkata, sejak pihak sekolah dan PIBG mendapatkan khidmat tokoh
agama dan pengamal tradisional, kejadian histeria tidak berlaku lagi.
Bagaimanapun keresahan mula timbul dalam kalangan penduduk kampung
sekitar sekolah itu iaitu Kampung Tok Has dan Lay Out Tok Has apabila
ada antara penduduk pula yang diserang histeria.
Katanya, difahamkan masing-masing satu keluarga di Kampung Tok Has dan Lay Out Tok Has.
“Saya tak berani nak sahkan sama ada apa yang berlaku di kampung
tersebut ada kaitan dengan di sekolah kerana kejadian di kampung turut
membabitkan orang dewasa,” katanya.
Sementara itu, ada dakwaan mengatakan sebelum meracau, murid terbabit
melihat kelibat lembaga hitam di sesuatu lokasi di sekolah tersebut.
Difahamkan, masalah histeria dilaporkan sudah lama tidak berlaku di
sekolah berkenaan, sehinggakan ada pihak mendakwa dan mengaitkan
kononnya kejadian histeria yang berlaku baru-baru ini ada kaitan dengan
kerja merobohkan sebuah rumah berhampiran sekolah tersebut.
Dalam pada itu Ghazali berkata, pihaknya akan terus berusaha
mendapatkan bantuan pakar perubatan tradisional untuk menangani masalah
itu. -Sinar Harian