KUALA LUMPUR – Penaung Persatuan Pemain-Pemain Bolasepak Profesional
Malaysia (PFAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim meminta persatuan bola
sepak di negara ini tidak menggunakan alasan kewangan untuk tidak
membayar gaji pemain mereka.
Baginda bertitah, persatuan bola sepak terutama Selangor dan Perlis
tidak boleh menggunakan alasan tidak mempunyai sumber kewangan yang
kukuh atas isu tersebut kerana gaji pemain mereka tidak begitu tinggi.
“Saya menyeru agar masalah gaji diselesaikan dengan segera,
terutamanya untuk pasukan Perlis dan Selangor. Usah gunakan alasan tidak
mempunyai sumber kewangan yang kukuh kerana gaji pemain Perlis tidak
begitu tinggi.
“Semua persatuan bola sepak dalam negara harus tahu bahawa pemain
bola sepak adalah manusia juga, dan bukannya hamba,” titah baginda dalam
satu kenyataan lewat malam tadi.
Baginda yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Johor (PBNJ) berkenan
memenuhi permintaan PFAM pada 10 November lalu supaya menjadi penaung
kepada persatuan yang bertujuan menjaga kebajikan dan masa depan pemain
bola sepak negara ini.
Tunku Ismail dalam pada itu mendakwa cadangan Kementerian Belia dan
Sukan mahu mengimport rumput dari luar negara untuk digunakan di Stadium
Nasional Bukit Jalil sebagai satu pembaziran.
Titah baginda, PBNJ menjalankan kerja-kerja pemulihan dan
penyelenggaraan di Stadium Larkin dengan hanya kos RM150,000 setahun
tetapi diiktiraf oleh delegasi pasukan AC Milan dan Borussia Dortmund.
“Ketua Pegawai Operasi Borussia Dortmund ada menyebut sesuatu kepada
saya iaitu bola sepak dimainkan di padang dan bukannya di atas batu
bata. Ertinya, tidak ada gunanya infrastruktur bertaraf dunia jika
kondisi padang tidak sesuai dan tidak diselenggara dengan baik,”
titahnya.