Pencuri Dipaksa Jalan Itik Sampai Ke Balai Polis Di Kelantan!

Antara sakit dipukul dengan mendapat malu yang teramat; mana lebih berkesan untuk dijadikan pengajaran?

Jika diberi pilihan, seorang remaja berusia 18 tahun di Kampung Palekbang, Tumpat, Kelantan mungkin lebih rela dibelasah daripada mendapat aib sebegini agaknya.

Gara-gara kantoi ditangkap orang kampung cuba mencuri motosikal sekitar jam 6 pagi kelmarin, remaja ini diarahkan berjalan itik sampai ke balai polis.

Difahamkan, cubaan mencuri motosikal oleh remaja ini bersama seorang lagi rakannya yang sempat melarikan diri disedari pemilik selepas terdengar bunyi rantai kenderaan ditarik.

Sebaik tuan rumah membuka pintu untuk memeriksa, kelihatan remaja tersebut dan rakannya sedang berada dalam garaj menyimpan motosikal.


Mereka segera berlari ke kereta untuk menyelamatkan diri namun tidak berjaya kerana kereta tak dapat dihidupkan.

Ketika inilah remaja terbabit berjaya diberkas sementara rakannya sempat melarikan diri.

Selepas beberapa kilometer berjalan itik, akhirnya remaja tersebut sampai di Balai Polis Palekbang kira-kira jam 7.20 pagi di mana dia diserahkan orang kampung kepada pihak berkuasa bersama sebuah kereta Proton Wira.

Pergh, tak terbayang rasanya betapa tebal kulit muka remaja ini dan lenguhnya kaki semasa kena jalan itu kan.

Harap-harap hukuman ini cukup untuk jadi pengajaran berguna agar remaja terbabit serik untuk mencuri lepas ini.





Sumber: Mynewshub.cc