Bertindak melulu dan melebihi batasan, beberapa individu di sebuah
kampung di Bachok, Kelantan bukan sahaja membelasah seorang remaja,
malah membogelkannya di khalayak ramai akibat ditangkap mencuri.
Kejadian dikatakan berlaku ketika waktu solat di mana remaja terbabit
bersama-sama seorang rakannya didakwa hendak mencuri motosikal milik
salah seorang jemaah yang diparkir di perkarangan masjid.
Namun, tindakan itu mengundang padah apabila dia ditangkap
selepas ada penduduk terlihat perbuatan tersebut. Rakan subahat mangsa
bagaimanapun sempat meloloskan diri.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assisten Komisioner Rohaimi Md
Isa, pelajar sekolah tingkatan tiga itu mengalami kecederaan di kepala
dan lebam di beberapa bahagian badan dipercayai akibat dibelasah.
Difahamkan remaja terbabit ditangkap bersama peralatan yang dipercayai untuk digunakan bagi mencuri motosikal.
Dalam pada itu, beberapa keping gambar remaja yang ditangkap orang
kampung ini menjadi viral di laman sosial apabila ia memaparkan keadaan
remaja itu yang dipercayai dibogelkan penduduk kampung sebagai hukuman.
Perbuatan ini mendapat kritikan pengguna Internet kerana
penyebarannya dianggap perbuatan mengaibkan dan tidak wajar. Malah, ada
pihak menganggap penduduk kampung menggunakan undang-undang sendiri bagi
menjatuhkan hukuman kepada pencuri itu.
Ya, kadang-kadang amarah boleh menyebabkan sesetangah individu
melakukan perbuatan di luar jangkaan, namun situasi ini tidak sepatutnya
berlaku apatah lagi di tempat suci bagi umat Islam.
Kalau pun nak beri pengajaran, tak perlulah sampai sebegini rupa. -Mynewshub.cc