Penswastaan Penting Bagi Survival MAS, Kata Penganalisis

MAS perlu diswastakan - penganalisis
KUALA LUMPUR - Cadangan penswastaan Malaysia Airlines (MAS) adalah penting bagi kelangsungan hidup syarikat penerbangan tersebut dan pemegang saham minoriti perlu menerima tawaran 27 sen sesaham yang ditawarkan kepada mereka pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan datang, kata penganalisis firma penyelidikan hari ini.

Ahmad Maghfur Usman, Penganalisis Pengangkutan Serantau di Institut Penyelidikan RHB, berkata: "Pada dasarnya, MAS kini semakin bermasalah, dan pemegang saham tidak akan mendapat semula pelaburan mereka. Justeru, bagi pemegang saham minoriti, lebih baik menerima tawaran 27 sen sesaham itu daripada tangan kosong.

"Langkah penyelamatan bagi MAS pada ketika ini ialah penswastaan dan tanpanya, pilihan lain ialah mengisytiharkan muflis."

Beliau memberikan senario itu bagi pemegang saham minoriti menjelang EGM yang penting pada 6 Nov.

Ahmad Maghfur berkata jika EGM mengundi membantah penswastaan, Khazanah Nasional Bhd yang memiliki pegangan saham majoriti dalam MAS, tidak akan menyuntik dana, menjadikannya sukar bagi syarikat penerbangan itu untuk melaksanakan penstrukturan semula.

Khazanah pada Ogos telah mengumumkan satu pelan penstrukturan semula 12 Perkara membabitkan kos RM6 bilion untuk menyelamatkan MAS dan RM1.4 bilion akan dibayar kepada pemegang saham minoriti, jika mereka mengundi bagi tawaran 27 sen itu.

Ia turut memberi laluan bagi penyahsenaraian MAS daripada Bursa Malaysia.

"Muflis adalah sangat mencabar. Ini juga akan menjadi senario terburuk bagi pemegang saham minoriti yang akan memberi tekanan kepada harga saham, misalnya. MAS tidak akan diniagakan pada paras yang sama.

"Justeru, saya menggesa pemegang saham minoriti, memastikan keutamaan mereka pada EGM itu," kata Ahmad Maghfur.

Beliau memberitahu Bernama bahawa tawaran 27 sen itu merupakan "harga yang menarik", dengan mempertimbangkan semua aspek, dan keadaan sukar MAS.

"Ia merupakan tawaran yang menarik. Bagi pemegang saham minoriti, ia merupakan tawaran jalan keluar yang menarik," katanya.

Beliau berkata penswastaan MAS akan memastikan peralihan yang lancar bagi penstrukturan semula, dan melindungi pelabur daripada terdedah kepada kerugian yang teruk.

"Ini adalah alasan yang baik kenapa pemegang saham minoriti perlu menerima tawaran tersebut," katanya.

Penyahsenaraian, Ahmad Maghfur berkata, merupakan langkah pertama yang diperlukan untuk penstrukturan semula, berbeza kes sebelum ini Petronas menswastakan Malaysian International Shipping Corporation (MISC).

"MISC merupakan landskap yang berbeza ketika itu yang berjaya melupuskan bahagian kapal kontena yang mengalami kerugian. Industri perkapalan pada ketika itu berada di bahagian bawah kitarannya dan hanya boleh meningkat," katanya ketika mengingati kembali langkah pada 1990-an.

Beliau berkata dalam kes MAS, keadaannya sangat berbeza berikutan syarikat penerbangan itu menghadapi persaingan yang sangat agresif.

Beliau turut menegaskan bahawa tiada asas bagi pemegang saham minoriti untuk menuntut lebih daripada 27 sen yang ditawarkan.

"Prospek MAS masih sangat mencabar. Sejak pengumuman mengenai penstrukturan semula, saya belum melihat sebarang perubahan yang bermakna dari segi perancangan.

"MAS masih menawarkan diskaun dan sebagainya dan ia akan menjadi senario yang buruk bagi tempoh dua suku akan datang dari segi pendapatan," kata Ahmad Maghfur.

Berdasarkan persaingan yang hebat dalam industri, beliau berkata pemegang saham minoriti perlu bersedia menghadapi keadaan yang sangat sukar dalam tempoh empat dan lima tahun akan datang tanpa penstrukturan semula, selain melahirkan keyakinan bahawa majoriti daripada mereka akan mengundi untuk menerima tawaran tersebut.

Beliau berkata apa yang sangat penting bagi MAS ialah kembali mencatat keuntungan, dan berhubung perkara ini, beliau menyambut baik pelan mengurangkan kakitangan sebanyak 30 peratus, walaupun ini akan melibatkan pampasan sebanyak RM1.2 bilion.

"Bagi MAS, jika ia berupaya untuk mengurangkan jumlah kakitangan sebanyak 30 peratus, anda melihat kepada penjimatan tahunan kira-kira RM700 juta.

"Berdasarkan perkara itu dan mengandaikan penswastaan ini berjaya, penjimatan faedah daripada hutang kepada penukaran ekuiti, turut akan meningkatkan pendapatan,".

Ahmad Maghfur berkata bagi kakitangan MAS, ia merupakan tempoh peralihan yang sukar dengan kemungkinan mereka akan kehilangan pekerjaan, bagaimanapun Khazanah menyediakan pelan sokongan bagi kakitangan yang diberhentikan untuk diserapkan ke dalam peluang pekerjaan lain.

"Ini adalah baik berikutan mereka akan diberi pampasan yang sewajarnya. Terdapat juga potensi bagi peluang pekerjaan lain, dan ia tidak semestinya dalam perniagaan syarikat penerbangan," katanya. - BERNAMA