Pensyarah Marah Cadangan Ditolak, Tuduh Mufti Perak Kolot

IPOH – Mufti Perak, Tan Sri Dr. Harussani Zakaria hari ini mendedahkan wujud gerakan pihak tertentu di negara ini untuk ‘menerbitkan’ al-Quran berbentuk terjemahan dalam bahasa Melayu sepenuhnya tanpa sepotong pun ayat asal kitab suci berkenaan iaitu bahasa Arab.

Menurutnya, beliau telah dihubungi oleh seorang pensyarah berstatus profesor tentang hasrat berkenaan baru-baru ini namun cadangan itu ditolak.

Harussani walau bagaimanapun menjelaskan kepada pensyarah tersebut bahawa perkara itu tidak boleh dilakukan kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab.

Katanya, al-Quran hanya boleh diterjemahkan sekiranya ayat asal kitab suci itu yang merupakan bahasa Arab dikekalkan di atas.

“Pensyarah itu marah pula saya, kata saya kolot dan tuduh keputusan saya itu menyekat usaha dakwah kepada bukan Islam. Saya terangkan perkara itu tidak boleh dibiarkan kerana terjemahan al-Quran tidak semestinya tepat kerana kandungannya pelbagai, dikhuatiri disalah gunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Di Malaysia, belum ada kes seumpamanya tetapi hari ini kita lihat cubaannya sudah ada,” katanya ketika ditemui selepas menutup Seminar Pendidikan Fatwa Kesihatan negeri di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Harussani memberitahu, al-Quran yang diterjemahkan sepenuhnya ke dalam bahasa lain tanpa ayat asalnya dikekalkan, bukanlah al-Quran dan tidak boleh juga dipanggil sebagai terjemahan kitab suci itu.

Katanya, kandungan al-Quran itu pelbagai dan kaedah bahasa Arab mesti diikuti untuk memahami terjemahannya dengan betul.

“Mesti tahu ilmu nahu, semuanya ada peraturan tertentu. Tidak boleh terjemah secara kalimah demi kalimah kerana tidak akan memberi makna atau fahaman sebenarnya.

“Haram hukumnya kalau kita keluarkan al-Quran tanpa ada ayat teks asal kitab suci itu sendiri,” jelas beliau.

Sumber: Utusan