"Peratus Lulus UPSR Di Kedah Meningkat" - Azuyah

ALOR SETAR - Peratus kelulusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Kedah meningkat 2.19 peratus dengan memperoleh 68.13 peratus berbanding tahun lalu 65.94 peratus.

Pengarah Pendidikan Kedah, Datin Azuyah Hassan berkata, pencapaian Gred Purata Sekolah (GPS) ialah 2.29 menyamai Gred Purata Nasional.

Beliau berkata, prestasi calon sekolah kerajaan yang mencapai tahap cemerlang iaitu 5A dan 7A dalam semua mata pelajaran ialah 2,831 orang (8.18 peratus) dari jumlah 34,623 calon.

"Sekolah kebangsaan (2,415), sekolah jenis kebangsaan (SJK) Cina (324) dan SJK Tamil (92)," katanya dalam kenyataan kepada media, di sini hari ini.

Menurutnya, 430 dari dari 540 sekolah rendah kerajaan  mencatatkan sekurang-kurangnya seorang calon mendapat semua A dalam semua mata pelajaran (74.63 peratus).

"Bilangan sekolah yang mencatatkan peratus kecemerlangan lebih tinggi dari pencapaian negeri ialah 240 sekolah atau 44.44 peratus. Sementara 16 sekolah lulus 100 peratus.

"Sebanyak 317 sekolah meningkat pencapaian keseluruhan dengan 0.11 peratus hingga tertinggi iaitu 100 peratus dan 210 sekolah menurun. Pencapaian 11 sekolah meningkat melebihi 50 peratus," katanya.

Beliau berkata, peratus lulus sekolah luar bandar ialah 65.74 (62.66) manakala sekolah bandar 75.29 (71.10) peratus.

"Ini bermakna jurang perbezaan antara sekolah bandar dan luar bandar semakin kecil dan beberapa sekolah luar bandar menunjukkan pencapaian cemerlang dalam UPSR tahun ini," katanya.

Menurutnya, kerjasama semua pihak menyumbang kepada kecemerlangan yang dicapai.

"Kita menghargai pengorbanan dan penat lelah semua yang terlibat dalam menjayakan segala program meningkatkan prestasi akademik termasuk warga sekolah, persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) agensi kerajaan dan swasta," katanya.





Sumber: Sinar Harian