Plagiat Tesis PHD: Idris Jusoh Harap Jangan Cepat Jatuh Hukum

PUTRAJAYA - Semua pihak diminta tidak menghukum seorang profesor yang didakwa melakukan plagiat dalam penulisan tesis kedoktorannya sebagai bersalah selagi universiti yang memberi akreditasi belum membuat pengumuman rasmi.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, beliau difahamkan bahawa Universiti Malaysia Kelantan (UMK), tempat profesor tersebut berkhidmat, telah berhubung dengan Universiti Vienna, Austria di mana beliau belajar.

"Perkara ini (plagiat) bukan kita yang menentukan sebaliknya ia hanya akan ditentukan oleh Senat universiti tersebut. Orang ramai tidak boleh menghukum beliau.

"Adakah kita lebih pandai... hebat daripada universiti berprestij yang melahirkan ramai Nobel Laureate dengan mengatakan demikian (profesor tersebut plagiat)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan fasa pertama lima Pusat Kompetensi 'Big Data' di sini hari ini.

Idris berkata, menjadi hak universiti untuk memberi Doktor Falsafah (PhD) kepada mereka yang telah membuat tesis.

Sebelum ini, sebuah portal melaporkan seorang pensyarah UMK telah melakukan plagiat dalam penulisan tesis kedoktoran.

Difahamkan keputusan berhubung siasatan ke atas profesor tersebut akan diketahui pada minggu depan. - Bernama