ANTARA pendekatan mutakhir yang didakwa bertujuan menjamin kesejahteraan umat manusia sejagat adalah suatu gagasan pluralisme etika yang dipopularkan oleh seorang aktivis Kristian dari Jerman, Profesor Hans Kung berjudul ‘Etika Global’.
Sekalipun gagasan etika global gagal mencadangkan suatu mekanisme yang praktikal bagi merealisasikan kesejahteraan umat manusia sejagat, gagasan ini perlu diberi perhatian serius oleh para pengkaji, lantaran ia bertujuan menyejahterakan umat manusia melalui penghayatan prinsip-prinsip sejagat yang didakwa sudah sedia terdapat dalam pelbagai ajaran agama di dunia termasuk agama Hindu, Buddha, Yahudi, Kristian dan Islam. Gagasan ini jelas suatu percubaan untuk mengajak umat manusia mengiktiraf gagasan pluralisme agama bahawa kebenaran berada dalam semua agama, khususnya dari aspek etikanya.
Deklarasi Etika Global diisytihar dan diluluskan secara rasmi oleh Majlis Parlimen Agama-Agama Dunia pada 4 September 1993 di Chicago, Amerika Syarikat. Persidangan itu dihadiri 6,500 peserta dari seluruh dunia mewakili pelbagai latar agama di samping tokoh politik, ekonomi dan budaya. Antara sarjana Islam yang hadir Profesor Hasan Hanafi dari Universiti Kaherah, Profesor Muhammad Talbi (Universiti Tunis), Syaikh Muhammad al-Ghazali (Universiti al-Azhar) dan Putera Mahkota Hasan Talil dari Jordan.
Dari sudut terminologi, ekspresi global ethic ditunjangi perkataan penting iaitu global dan ethic. Global bermaksud seluruh dunia, sejagat, semesta manakala ethic merujuk kepada standard etika yang boleh diterima sebagai model ikutan oleh umat manusia daripada pelbagai latar agama, bangsa dan budaya.
Penggunaan istilah ethic merujuk kepada prinsip-prinsip asas moral yang sedia ada dan diamalkan oleh seseorang individu atau kumpulan etnik tertentu, sama ada yang bersumberkan ajaran agama atau berasal dari amalan tradisi, adat dan budaya hidup mereka. Perkataan ethics pula bermaksud falsafah moral atau teori-teori teologi tentang norma dan sikap manusia yang terkeluar dari skop perbincangan etika global (Hans Kung, A Global Ethics for Global Politics and Economics, 1997).
Deklarasi Etika Global mengajak umat manusia mengamal dan mempertahankan nilai-nilai baik dan sejagat yang terdapat dalam kebanyakan agama dan budaya. Sebab itulah, deklarasi itu antara lain menegaskan bahawa bumi yang kita huni ini sangat menderita kerana sedang dimusnahkan oleh pelbagai penyakit kronik seperti jenayah, kemiskinan, ketidakadilan, kemusnahan institusi keluarga, kerosakan ekosistem bumi, keganasan dan kebencian atas nama agama. Masalah-masalah tersebut tidak sepatutnya berlaku jika prinsip-prinsip etika sejagat yang dianjurkan oleh pelbagai agama atau etika global dilaksanakan oleh setiap daripada kita.
Hans Kung menegaskan bahawa ia bukanlah suatu ideologi global yang baru; bukan juga percubaan untuk menyatukan semua agama menjadi satu; atau suatu bentuk dominasi agama tertentu ke atas agama lain. Etika global juga bukan mahu menggantikan prinsip-prinsip etika tertinggi yang sedia terdapat dalam sesuatu agama dengan yang baru; bukan juga untuk mengambil alih peranan kitab Taurat, Injil, al-Quran, Bhagavadgita dan lain-lain. Objektif sebenarnya, tegas Hans Kung, adalah untuk menyedarkan umat manusia bahawa semua agama di dunia menganjurkan nilai-nilai moral umum yang boleh diterima oleh semua bagi menjamin keharmonian, keadilan, keselamatan dan kelangsungan hidup mereka. Justeru, etika global tidak berhasrat menentang sesiapapun tetapi mempelawa semua manusia, baik yang beragama atau tidak, supaya berpegang teguh kepada nilai-nilai etika umum tersebut serta merealisasikannya dalam segenap ruang hidup mereka.
Antara nilai etika standard paling asas yang disyorkan untuk diamalkan oleh setiap individu oleh etika global adalah setiap manusia wajib diperlakukan sebagai manusia; setiap manusia juga perlu komited terhadap budaya tanpa keganasan dan menghormati kehidupan; dan komited terhadap budaya persamaan hak dan perkongsian sama rata antara lelaki dan wanita.
Sekiranya prinsip-prinsip etika yang paling asas tersebut dapat direalisasikan oleh setiap manusia, maka sudah tentu bumi ini akan menjadi aman sejahtera serta kelangsungan hidup manusia akan terjamin.
Pada hemat saya, etika global boleh disamakan dengan gerakan pluralisme agama yang diperjuangkan oleh pemikir-pemikir liberal pada masa kini. Bagaimanapun, gagasan etika global lebih fokus kepada isu-isu persamaan dasar etika yang terdapat dalam agama-agama di dunia, bukan persamaan antara agama tersebut. Pluralisme agama pula merujuk kepada aliran teologi liberal yang mendakwa bahawa semua agama adalah benar dan sah belaka, masing-masing menuju suatu tujuan atau tuhan yang sama, iaitu Allah, sekalipun menggunakan pendekatan berbeza-beza. (Mun’in A. Sirry, Fiqih Lintas Agama: Membangun Masyarakat Inklusif-Pluralis, 2005; Charles Kurzman, Liberal Islam: A Sourcebook, 1998).
Oleh itu, gagasan etika global lebih tertumpu kepada persamaan dasar etika dalam pelbagai agama dan budaya, manakala gerakan pluralisme agama menekankan skop lebih luas iaitu ke arah penyatuan dan persamaan antara agama. Bagaimanapun, pengiktirafan gagasan etika global bahawa dasar-dasar etika sejagat yang boleh diterima oleh semua manusia sudah terdapat dalam semua ajaran agama di dunia terutama Kristian, Islam, Yahudi dan Hindu, mungkin juga satu lagi bentuk pluralisme baru, iaitu pluralisme etika.
Bagaimanapun, beberapa prinsip etika standard yang disyorkan oleh gagasan etika global seperti, what you do not wish done to yourself, do not do to others! (Apa yang kamu tidak mahu orang lain perbuat kepada diri kamu, jangan kamu perbuat kepada orang lain); you shall not kill (kamu tidak boleh membunuh); you shall not steal (kamu tidak boleh mencuri); you shall not lie (kamu tidak boleh berbohong); dan you shall not commit sexual immorality (kamu tidak boleh melakukan hubungan seksual yang tidak bermoral), adalah antara usaha menyuntik wawasan Barat yang berpaksikan ajaran Taurat dan Ten Commandments.
Dasar-dasar etika umum lebih komprehensif seperti yang terdapat dalam agama lain terutama Islam, nampaknya tidak menarik minat Hans Kung untuk dijadikan nilai ikutan yang asasi. Malah nilai-nilai sejagat dalam agama Buddha dan Hindu juga sangat perlu untuk diketengahkan secara perbandingan bagi membuktikan bahawa nilai-nilai sepunya juga terdapat dalam agama-agama lain.
Saya berpendapat gagasan etika global lebih bersifat retorik tanpa disokong oleh suatu kerangka kerja atau program yang konkrit untuk dilaksanakan, sedangkan objektif yang ingin dicapai oleh etika global adalah sangat besar iaitu bagi menjamin kelangsungan dan kesejahteraan umat manusia di muka bumi ini. Kaedah yang dicadangkan pula sekadar menyeru dan menyedarkan setiap individu supaya mempraktikkan nilai-nilai kebaikan yang boleh diterima oleh umum bagi mewujudkan dunia yang aman, makmur serta bebas jenayah, keganasan, kemiskinan, ketidakadilan, keruntuhan institusi keluarga, kemusnahan ekosistem alam, kebencian dan keganasan atas nama agama. Persoalan penting tentang bagaimanakah cara untuk menyedarkan setiap individu supaya melaksanakan nilai-nilai kebaikan sejagat tersebut tidak diberi perhatian oleh etika global.
Barangkali tidak keterlaluan untuk disimpulkan bahawa, gagasan etika global adalah satu lagi produk diplomasi Barat untuk mengkristiankan penganut agama lain dengan cara menggesa mereka berpegang kepada prinsip-prinsip etika sejagat yang terdapat dalam ajaran agama masing-masing, tetapi terhad kepada nilai-nilai sepunya yang dianjurkan oleh agama Kristian sahaja.
Hans Kung sendiri mungkin sudah menyedari bahawa agama Kristian hanya mempunyai nilai-nilai etika sejagat yang sangat terhad, maka beliau cuba menutup hakikat ini dengan menyarankan supaya nilai-nilai sejagat yang terdapat dalam agama lain juga diiktiraf dan diamalkan, tetapi gagal mengetengahkan apakah nilai-nilai sejagat yang dimaksudkan itu.
Dalam bidang ekonomi umpamanya, Hans Kung cuba meuniversalkan nilai agama Kristian tentang ‘tidak boleh mencuri’ sebagai suatu prinsip yang boleh mewujudkan kesejahteraan umat manusia di samping membentuk sistem ekonomi yang adil. Adalah terlalu janggal untuk mendakwa bahawa suatu prinsip etika sahaja dapat menjamin pembangunan dan kekuatan ekonomi sesebuah negara. Dalam konteks ini, Hans Kung jelas gagal menelaah prinsip asas agama lain yang lebih penting dalam bidang tersebut seperti terdapat dalam ajaran Islam (Mushtaq Ahmad, Business Ethics in Islam, 1995).
Prinsip-prinsip etika ekonomi Islam yang cukup komprehensif sudah tentu akan dapat menjamin kesejahteraan umat serta pembangunan ekonomi yang adil seperti, kewajipan bekerja, kebebasan untuk menjalankan bisnes, keharusan untuk memiliki harta kekayaan, pengharaman riba, judi, curi, rompak, rasuah, monopoli, sorok dan pembaziran, kewajipan mengagihkan harta kekayaan melalui pelbagai institusi seperti zakat, cukai, nafkah dan kifarah serta saranan Syariat Islam supaya umat manusia mengagihkan harta kekayaan kepada orang lain yang memerlukan melalui sedekah, memberi pinjaman, wakaf dan wasiat.
Prinsip-prinsip etika Islam yang sangat mendasar dan universal dalam bidang ekonomi ini jika dilaksanakan, sudah tentu akan dapat menjamin pertumbuhan ekonomi yang sihat dan adil, di samping dapat memelihara kelangsungan dan kesejahteraan umat manusia di muka bumi ini.
PROF. MOHD. NASIR OMAR, PENULIS ialah Profesor Pemikiran Islam dan Falsafah, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga Ahli Majlis Fatwa Wilayah Persekutuan.