KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri UMNO menegur MCA supaya lebih
sensitif terhadap sebarang isu yang melibatkan agama Islam di negara
ini.
Ketuanya, Mas Ermieyati Samsuddin berkata, MCA sepatutnya memahami
sensitiviti sebelum memberi reaksi mengenai operasi gempur aurat
kerajaan Kelantan.
“Puteri menyokong usaha kerajaan Kelantan yang melaksanakan
undang-undang tersebut dan ia seharusnya dihormati oleh pelbagai pihak.
“MCA perlu lebih sensitif dan sebagai pendokong aspirasi rakyat
mereka juga harus adil kepada semua masyarakat dan agama,” katanya dalam
satu kenyataan hari ini.
Mas Ermieyati berkata, MCA sepatutnya menumpukan kepada untuk menarik
sokongan kaum Cina sebagai persediaan Pilihan Raya Umum Ke-14.
Menurutnya, beliau bimbang kekeliruan rakyat mengenai isu itu akan menjejaskan hubungan baik antara masyarakat dalam negara.
Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai sebelum ini tidak bersetuju
dengan operasi gempur aurat yang dilaksanakan oleh kerajaan Kelantan.
Beliau berpendapat operasi itu akan menjejaskan golongan peniaga terutama peniaga Cina di Kelantan.
Sumber: Mynewshub.cc