Kuala Lumpur: Atlet terjun negara Pandelela Rinong, 21, berhadapan detik cemas apabila kereta Chevrolet Cruze dinaikinya terbabit dalam kemalangan di Jalan Mahameru berhampiran bangunan Parlimen, awal pagi semalam.
Dalam kejadian pada jam 1 pagi itu, Pandelela yang juga pemegang pingat gangsa Sukan Olimpik London 2012 dikatakan gagal mengawal keretanya apabila sebuah kereta lain menukar arah laluan secara tiba-tiba.
Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berkata, ketika kejadian Pandalela yang memandu berseorangan dalam perjalanan ke Bukit Jalil dari arah Sentul.
“Tiba-tiba muncul sebuah kereta dari arah yang sama menghimpit ke kiri jalan mengakibatkan mangsa hilang kawalan lalu merempuh sebuah tiang jalan dan terbabas ke dalam longkang. Bagaimanapun, mangsa tidak cedera,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Difahamkan, atlet berketurunan Bidayuh itu dalam perjalanan pulang ke Kompleks Sukan Bukit Jalil selepas makan malam di sebuah restoran di ibu negara. -myMetro