BEIRUT – Beberapa serangan udara oleh rejim Syria di ‘ibu kota’ yang
diisytiharkan sendiri oleh kumpulan Negara Islam (IS), Raqqa,
mengakibatkan sekurang-kurangnya 63 orang terbunuh, separuh daripada
mereka adalah orang awam, kata sebuah badan pemantau.
Ia adalah serangan udara yang mengakibatkan jumlah kematian
paling ramai oleh tentera udara Presiden Bashar al-Assad di Raqqa sejak
kumpulan ekstremis Sunnah IS itu merampas kuasa di bandar berkenaan
tahun lalu.
“Sekurang-kurangnya 36 daripada 63 mangsa yang terkorban adalah orang
awam,” kata Rami Abdel Rahman daripada Badan Pemantau Hak Asasi Manusia
Syria.
Selain itu, tambahnya, terdapat juga 20 mangsa tidak dikenali yang
mungkin terdiri daripada orang awam ataupun anggota jihad serta serpihan
mayat sekurang-kurangnya tujuh orang lagi.
Gambar daripada video amatur yang diedarkan oleh aktivis di Raqqa
menunjukkan beberapa mayat berlumuran darah bergelimpangan di jalan raya
berhampiran tempat pengeboman, dan kelihatan ambulans berkejar ke
tempat kejadian.
Menurut badan pemantau berkenaan, pada 6 September lalu, 53 orang
terbunuh dalam serangan udara di Raqqa, antara mereka termasuk
sekurang-kurangnya 31 orang awam. – AFP