ALOR SETAR - Kejadian ribut yang melanda Kedah terutama di daerah Kota
Setar sejak beberapa hari lepas, berterusan hari ini mengakibatkan
beberapa pokok di sekitar bandar raya ini tumbang dalam kejadian ribut
dan hujan lebat.
Dalam kejadian kira-kira 4.55 petang, sebuah kereta yang diletakkan
berhampiran sebuah pasar raya di Jalan Sultan Badlishah di sini dihempap
pokok sebesar pemeluk ketika hujan lebat dalam tempoh kira-kira 15
minit.
Angin kuat mengakibatkan pokok jenis cemara itu tumbang.
Kejadian itu tidak menyebabkan kemalangan jiwa kerana pemilik kenderaan
itu, Chin Kuen Han, 32, tidak berada di dalam kereta Honda CRV itu
kerana masih berada di pejabat yang terletak berdekatan tempat kejadian.
Chin berkata beliau menyedari kejadian itu selepas dihubungi rakannya
yang melihat kejadian itu dan terus bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya beliau terperanjat apabila mendapati kereta yang dibelinya
empat tahun lalu remuk di bahagian cermin depan, bumbung dan cermin
belakang yang menyebabkan kerugian lebih RM5,000.
"Jam 4 (petang) lebih ada kawan call saya dia kata kereta kena pokok
runtuh so saya datang tengok lepas hujan apa rosak. Nampak bumbung,
cermin depan dan belakang pecah. Nasib baik saya di pejabat ketika
kejadian," katanya.
Sementara itu, Pegawai Kanan 1 Balai Bomba Jalan Raja Ramlan Mohd Aris
berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang ramai kira-kira 4.56
petang.
"Setibanya di sana, sebuah kereta dihempap pokok besar, namun
pemiliknya tiada. Usaha mengeluarkan kereta tersebut dilakukan dan
Majlis Bandaraya Alor Setar turut memotong dahan pokok yang tumbang,"
katanya. - Bernama