RON95 Turun 4 Sen Seliter Mulai Esok

Kecoh di laman sosial dan blog apabila tersebar harga baru runcit bagi petrol semua gred dari RON97, RON95 dan Diesel yang akan berkuatkuasa pada 1 Disember depan.

Bagaimanapun, kenyataan Kementerian Kewangan itu dilihat tersebar lebih awal biarpun ada makluman dalam kenyataan itu bahawa ia perlu disiarkan hanya pada pukul 8 malam ini.

Ketika berita ini ditulis, kenyataan embargo itu telah pun terbit di banyak blog dan portal sehingga menimbulkan tanda tanya mengapa kenyataan itu terlepas kepada semua pihak dan media sosial terlalu awal jika ia hanya sepatutnya diumumkan mulai 8 malam ini.

Menurut kenyataan itu, harga baru runcit bagi RON95 ditetapkan pada RM2.26 seliter bulan depan, yakni  dikurangkan sebanyak 4 sen daripada harga semasa RM2.30 sen.

“Harga bagi petrol RON97 bagi bulan Disember ditetapkan pada RM2.46 seliter diturunkan 9 sen daripada harga asal RM2.55 seliter.

“Bagi Diesel, harga yang ditetapkan ialah RM2.23 seliter naik 3 sen daripada RM2.20 sen sebelum ini,” menurut kenyataan itu.



Daripada kenyataan itu, ia dilihat dihantar kepada Pengarah Eksekutif syarikat IPTB Sdn Bhd yang memiliki sepenuhnya syarikat petrol jenama Buraq Oil.

Harga baru itu dikeluarkan selepas baru-baru ini kerajaan membuat keputusan menetapkan harga RON95 mngikut sistem apungan terkawal sepertimana mekanisme yang digunakan untuk menetapkan harga RON97.

Ia dilakukan berikutan harga minyak mentah ketika ini berada pada paras bawah AS$80 setong.
Menurut kerajaan, sistem apungan terkawal itu akan terus digunakan selagi harga minyak mentah dunia di bawah AS$80 setong.