Rugi RM4 Juta: Ramai Pencuri Kabel Di Kedah?

ALOR SETAR - Penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Telekom Malaysia menanggung kerugian hampir RM4 juta akibat kegiatan mencuri kabelnya di seluruh negeri sejak awal tahun ini.

Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, Norsabrina Mohd Noor berkata, peniaga barangan lusuh juga diberi amaran agar tidak berkomplot dengan pencuri kabel untuk membendung masalah itu.

“Jangan harap kerajaan sahaja untuk atasi masalah ini, kami juga sudah melakukan serbuan di pusat pengumpulan barangan lusuh yang beroperasi secara haram.

“Pihak pembangkang juga harus bersama menjalankan kempen mencegah kecurian kabel di tempat masing-masing kerana kejadian itu berlaku di semua kawasan,” katanya ketika menggulung Bajet 2015.

Menurutnya, dalam beberapa kes kecurian ada pihak yang menyamar sebagai kontraktor dilantik Telekom bagi mengelak kegiatan mereka dihidu masyarakat.

Tertarik dengan isu itu, Datuk Siti Aishah Ghazali (Pas-Merbau Pulas) bangun menjelaskan situasi sama berlaku di kawasannya  kerana berhampiran dengan tempat penjualan barangan lusuh.

“Bagaimana kita nak kenal antara kontraktor dilantik Telekom dengan kontraktor menyamar?,” soalnya.

Norsabrina berkata, proses mengenal pasti kontraktor tidak sukar.

“Senang saja, Yang Berhormat jumpa sendiri dengan mereka tanya buat apa, dari mana dan kalau betul dilantik Telekom, minta tunjuk surat pengesahan rasmi,” katanya. -Sinar Harian