Sah! Chong Wei Digantung Sementara

Pemain badminton nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei disahkan telah digantung sementara kerana gagal ujian dadah selepas analisis dilakukan ke atas sampel urin pemain tersebut pada Kejohanan Dunia di Copenhagen, Ogos lalu.

Mengesahkan hukuman gantung sementara itu, Persekutuan Badminton Dunia (BWF) menjelaskan perkara berkenaan telah dirujuk kepada Jawatankuasa Panel Pendengaran BWF, dan pengerusi panel berkenaan akan menetapkan waktu, tarikh serta lokasi perbicaraan akan dijalankan.

Menurut sumber, panel berkenaan juga bakal menentukan sama ada Chong Wei terbabit telah melakukan kesalahan atau melanggar peraturan anti-doping.

Mengikut Fasal 7.6.2 dalam Peraturan Anti-Dadah BWF, mana-mana atlet yang dikenakan larangan sementara tidak dibenarkan untuk menyertai sebarang kejohanan sebelum kes perbicaraan dijalankan terhadapnya.

Manakala menurut Fasal 14.4.1, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) kini dibenarkan mendedahkan nama pemainnya yang terlibat dalam perkara tersebut.

BWF bagaimanapun dilapor, enggan mengulas lanjut mengenai perkara ini sehingga Jawatankuasa Panel Pendengaran mencapai keputusan. -KedahNews.com