“Kalau susah-susah masak saja ikan sardin”.
Ramai yang mungkin tidak asing dengan ungkapan ini apatah lagi untuk
orang bujang atau mereka yang kesuntukan masa untuk memasak.
Malah ada juga yang menyimpan stok ikan sardin tin ini untuk tujuan ‘kecemasan’, manalah tahu ada tetamu datang tanpa dirancang.
Memasak ikan sardin ini sama ada yang di dalam tin atau segar
sememangnya mudah. Tidak memerlukan banyak bahan. Sama ada dijadikan
sambal, dimasak kari atau digoreng bersama bawang dan halia, hidangan
ini sudah cukup untuk mengalas perut yang lapar.
Ada juga yang menjadikan ikan sardin ini sebagai inti sandwic atau karipap.
Rakan Facebook (FB), Rosie Hashim memberitahu penulis, untuk
menjadikan masakan sardin lebih sedap beliau akan menambah air asam jawa
dan hirisan cili merah.
“Masak lemak pun sedap”, tambahnya.
KENANGAN SILAM
Penulis sendiri berasa nostalgik dengan ikan sardin, ikan yang sering dikaitkan dengan rakyat marhaen.
Membesar dalam keluarga yang ramai dengan gaji ayah yang tidak
seberapa, ikan sardin adalah sajian lumrah buat kami adik-beradik.
Untuk menjadikannya banyak, emak akan menambah ubi kentang. Cukuplah makanan pada hari itu.
Ikan sardin segar pun pada masa itu harganya mungkin kira-kira RM1.00
sekati (kira-kira 600 gram) dan itu pun boleh berkongsi dengan kucing!
Itu kisah puluhan tahun dulu. Sekarang kalau disebut ikan sardin, ia
lebih disebut ‘macam ikan sardin’, membayangkan keadaan bas atau tren
yang sesak dan padat dengan penumpang.
Anak zaman sekarang pun mungkin lebih mengenali ikan tuna daripada ikan sardin.
SEMAHAL AYAM
Hari ini, kalau nak makan ikan sardin tin mungkin lebih elok beli ayam!
Baru-baru ini penulis membeli setin ikan sardin berjenama. Tin leper
yang paling besar dan bila terima resit belian, harganya RM9.30. Balik
rumah, buka tin, ada tiga tongkol sahaja.
Congak di kepala tidak memerlukan kalkulator, setongkol RM3.10. Bukankah mahalnya?
Di sebuah pasar raya lain, harga sardin tin yang sama RM9.99!
Teringat minggu sebelumnya beli ayam, sederhana saiz, harganya kira-kira
RM10.00 sahaja.
Nampaknya, ikan sardin bukan lagi semurah semasa saya kecil dahulu!
MENITIS AIR MATA
Rakan FB, Eta MT memberitahu penulis air matanya masih boleh menitis
apabila mengimbau kenangan makan ikan sardin semasa belajar di menara
gading.
“Ikan sardin antara memori tak akan dapat saya lupakan semasa belajar dengan rakan seperjuangan”, katanya.
Menurut Eta, yang berasal dari Batu Gajah, Perak, beliau dan lima
rakan sebiliknya memasak ikan sardin dalam periuk nasi elektrik dan
periuk itu juga digunakan untuk memasak nasi.
“Kami hanya tambah bawang dan cili. Makan dengan nasi panas-panas. Biasanya kami masak sardin bila kewangan semakin menyusut.
“Kami akan kutip duit, yang ada banyak bagi banyak. Dapat beli ikan
sardin pun dah syukur. Ada duit lebih kami beli telur. Adalah menu
tambahan, telur dadar.
“Kami makan berjemaah dan menu sardin menu istimewa kami, Sedap,
masyaAllah”, kata Eta dan menambah kata bahawa harga setin pada tahun
1997 ialah sekitar RM2.50, yang mengandungi dua tongkol ikan sardin.
NAIK HARGA
Ikan sardin segar yang pada satu ketika dulu dibeli hanya untuk habuan kucing pun tidak kurang mahalnya.
Harga yang pernah penulis beli sedikit masa dulu di pasar tani adalah antara RM7.00 hingga RM9.00 sekilo.
Walau apapun, ikan sardin atau nama lainnya ‘pilchard’ yang ada
kaitannya dengan ikan herring (menurut carian di internet) kaya dengan
pelbagai vitamin dan galian.
Istilah sardin dipercayai digunakan orang Inggeris pada awal kurun
ke-15 dan mungkin berasal daripada nama pulau Sardinia di Mediterranen
yang dikatakan kaya dengan ikan sardin pada suatu ketika dahulu.
Ikan ini juga dikatakan hidangan popular di merata dunia termasuk Kanada, Perancis, Itali, Maghribi, India dan Jepun.
Mungkin ini agaknya yang menyebabkan ikan yang pada satu ketika dikaitkan dengan rakyat marhaen ini semakin mahal harganya.
Meskipun mahal, bagi yang menggemari ikan sardin dalam bentuk apa juga masakan mungkin akan menutup sebelah mata.
Ikan sardin tetap jadi pilihan. Dulu, kini dan selamanya! – BERNAMA