#SelamatkanMalaysiaAirlines: Rakyat Sekadar Bertanya Mana Duit Jentayu, Itu "Fitnah Jahat"?

Kenyataan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani, yang meminta sebuah syarikat swasta, Jentayu Danaraksa Sdn Bhd (Jentayu), supaya mendedahkan modal sedia ada syarikat itu kepada umum sekiranya berhajat untuk bekerjasama dengan Khazanah dalam menyelamatkan MAS.

Ahli Parlimen itu mempersoal tentang status pelan cadangan Jentayu yang dikatakan tidak lengkap dan tidak dijelaskan kepada umum, selain modal syarikat itu yang tidak diketahui jumlahnya.

"Anda nak dapatkan duit itu dari mana? Tunjukkan wang anda. Jika anda kata anda ada penyokong, siapa penyokong anda," kata Johari yang jelas meragui pelan "strategik" yang diwar-warkan Pengarah Urusan Jentayu, Feriz Omar, di media sebelum ini.

Kenyataan Ahli Dewan Negara itu boleh dirujuk di sini.

Tiba-tiba hari ini Jentayu mengeluarkan kenyataan ia akan didedahkan dalam masa 10 hingga 14 hari lagi. Ketika serahkan kertas cadangan pada Perdana Menteri tempohari bermaksud Jentayu masih tiada modal atau penyedia dana, kah?

Mungkin dirasakan kenyataan Johari itu tidak memihak dan menyebelahi syarikat swasta yang baru ditubuhkan sekitar 2 bulan itu, Feriz telah "menyerang" Ahli Parlimen Titiwangsa itu di akaun laman Facebook miliknya.

Pada mulanya, dia memuat naik satu gambar komunikasi dengan seorang yang didakwa editor kanan RTM. Di kapsyen gambar itu, Feriz mendakwa Johari hanya "gebang" dan cuba "mencari publisiti murahan".

Kemudian, dalam satu lagi kenyataan Feriz di laman Facebooknya, dia mendakwa kenyataan Johari itu adalah "fitnah jahat" dan mempersoal tentang pengetahuan Ahli Parlimen itu tentang pelan yang dicadangkan Jentayu.


Seterusnya melalui "posting" yang sama Feriz mendakwa Khazanah "takut" untuk bersemuka membuka pintu untuk duduk berbincang dengan Jentayu mengenai cadangan syarikatnya itu yang kononnya "begitu sempurna"...

Penulis agak terkejut melihat sikap "korporat" dan cara berfikir seorang Pengarah Urusan syarikat perunding "hebat" seperti Feriz. Johari hanya bertanyakan tentang status modal dan pelan Jentayu yang kononnya "hebat" namun dikatakan tidak lengkap itu. Salah, kah?

Kalau nak beli kereta atau memohon kredit kad, pihak bank pun perlu periksa ‘credit score’ untuk memastikan kemampuan kewangan seseorang.

Tiada sekelumit pun kenyataan Johari yang berunsur "fitnah jahat", bukan?

Sebagai wakil rakyat di Dewan Rakyat, Johari punya hak untuk bertanya tentang cubaan sebuah syarikat swasta yang berhajat mengambil alih aset-aset strategik yang penting milik Khazanah dalam sebuah syarikat ikon negara seperti MAS.

Beliau hanya ingin mengetahui sejauh mana keupayaan Jentayu dan bukti-bukti rekod cemerlang syarikat milik Feriz itu yang didakwa kononnya "mampu" menyelamatkan MAS dan 6,000 kakitangan syarikat berkenaan.

Di mana "fitnah jahat" yang dikatakan Feriz itu? Atau Feriz sememangnya enggan menerima kelemahan di pihaknya?

Bukan apa, kita juga risau sekiranya 6,000 kakitangan MAS itu dijanjikan "bulan dan bintang" oleh Jentayu, dan tiba-tiba syarikat swasta yang umur setahun jagung itu tidak dapat mengotakan janji. Ia mampu menimbulkan rasa kecewa dan marah pada 6,000 kakitangan terbabit, bukan?

Feriz mendakwa telah mengemukakan pelan cadangan Jentayu pada Khazanah dan selamba menuduh Khazanah "takut" berdepan Jentayu untuk berbincang? Dia mahu bekerjasama dengan Khazanah, tapi dia hentam GLC itu "takut" berbincang Jentayu?

Agaknya Feriz lupa tentang kertas cadangan yang diserahkan Jentayu pada Khazanah itu sebelum ini bersifat sangat "nipis"? Bila ditanya tentang kertas cadangan yang kononnya berjumlah "200 muka surat" sebagaimana yang didakwa, mengapa Feriz membisu?

"Posting" Feriz di laman Facebooknya yang mendakwa mengandungi 200 muka surat itu juga tiba-tiba "lesap" apabila dipersoal jumlah muka surat sebenar kertas cadangan yang diserah pada Khazanah? Apa cerita?

Mohon Feriz berikan pencerahan mengenai isu "200 muka surat" dan penuhi permintaan Ahli Parlimen Titiwangsa yang meminta Jentayu menjelaskan kedudukan modal syarikatnya, termasuk pelan yang "hebat" itu.

Itu saja. Takkanlah permintaan semudah itu pun susah nak ditunaikan?