HULU SELANGOR - Mayat seorang bayi yang baru dilahirkan ditemui tertanam di sebuah ladang kelapa sawit di Kalumpang, di sini, pagi semalam.
Mayat itu ditemui pada pukul 11.30 pagi, selepas polis melakukan
siasatan susulan berhubung penemuan mayat seorang wanita dipercayai ibu
kepada bayi berkenaan di lokasi berhampiran.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Deputi Supritendan
Zulkepli Bedin berkata, lokasi bayi tersebut ditanam telah ditemui
selepas didedahkan oleh seorang lelaki warga Indonesia yang kini
merupakan suspek utama.
"Pasukan forensik terpaksa mengorek tanah sedalam kira-kira satu
meter sebelum menemui mayat bayi yang dipercayai baru dilahirkan itu,"
katanya.
Pada Selasa, mayat seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi itu ditemui tertanam di kawasan sama.
Zulkepli memberitahu, hasil bedah siasat mendapati wanita terbabit meninggal dunia ketika melahirkan anak.
Bagaimanapun punca kematian bayi akan diketahui selepas siasatan lanjut dilakukan.
Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat mengikut Seksyen 314 Kanun
Keseksaan kerana mendatangkan keguguran dengan niat menyembunyikan
kelahiran.