Seorang profesor dan penganalisis politik dari Universiti Malaysia Kelantan
(UMK) yang dikatakan memplagiat dan menipu hasil kandungan buku orang lain bagi
menyiapkan bab pertama tesisnya dijangka akan bertindak meletak semua jawatan yang disandangnya dalam masa terdekat.
Menurut laporan sebuah portal, profesor berkenaan dilaporkan terpaksa memikul tanggungjawab atas kecurangan akademik yang dilakukan sebelum itu dan memutuskan untuk mengosongkan biliknya tidak lama lagi.
"Beliau dikatakan ingin bertanggugjawab atas tindakan
yang dikaitkan ke atasnya sebelum ini dan tidak lagi bertugas di UMK
bermula dari 1 November 2014 serta dalam proses untuk mengosongkan
biliknya," tulis sebuah portal, Suara.TV.
Selain itu, sumber itu juga mendakwa bahawa perkara berkenaan telah pun dimaklumkan kepada pihak Naib Canselor UMK.
Walau bagaimanapun, portal berkenaan tidak mendedahkan identiti profesor itu sehingga kini sehingga ia menimbulkan pelbagai persoalan dan spekulasi mengenainya.
Mengulas lanjut, portal itu turut menerima beberapa kiriman e-mel secara sulit dari sumber dalaman UMK yang mendakwa pihak pengurusan universiti itu akan mengumumkan perkara tersebut secara rasmi setelah profesor terbabit meletak jawatan.
Namun kata portal itu lagi, pihak mereka masih gagal untuk menghubungi pihak pengurusan universiti itu bagi mendapatkan kenyataan rasmi berhubung skandal akademik tersebut.
"Malah talian telefon pejabat universiti juga seolah-olah tidak
berfungsi walaupun usaha untuk menghubungi mereka yang terbabit bagi
mendapatkan komen telah dilakukan sejak pagi tadi." jelas portal itu, baru-baru ini.
Sebelum ini, portal tersebut menyiarkan tentang profesor terbabit yang dikatakan berhadapan dengan tuduhan
plagiat yang serius dalam menyiapkan tesis kedoktoran di salah sebuah
universiti di luar negara.
Tindakan itu kemudiannya dikatakan telah disedari oleh seorang pensyarah dari
universiti yang sama yang kemudiannya telah membuat satu laporan polis
berhubung perkara itu pada 1 November lalu di balai polis Bachok,
Kelantan.
Menurut sumber itu lagi, pensyarah terbabit mendapati keseluruhan bab pertama
tesis tersebut diciplak dari kandungan asal yang merupakan sebuah buku hasil tulisan orang lain.
"Hanya istilah-istilah tertentu sahaja di"Malaysia"kan bagi menyesuaikan
dengan tajuk tesis terbabit," dakwa sumber berkenaan.
Sumber itu turut juga mendakwa terdapat bahan-bahan rujukan untuk tesis
tersebut juga datang dari sumber yang tidak sah dan penerbit yang tidak
wujud.
Pensyarah itu juga meluahkan kekhuatirannya berhubung kemungkinan profesor terbabit telah menipu
universiti luar negara itu kerana menggunakan rujukan-rujukan dari Malaysia
yang sebenarnya tidak wujud.
Turut dimaklumkan bahawa pensyarah tersebut juga dikatakan telah menulis 155 pertuduhan
membabitkan “kecurangan akademik dan pentadbiran” ke atas profesor
terbabit, termasuk mendakwa beliau mengaku pernah menjadi juri di satu festival filem yang berlangsung di Cannes. -KedahNews.com