Simpan Peluru Hidup Dalam Peti Besi Bank!

Kuala Lumpur - Seorang lelaki berusia 50 tahun ditahan bersama tiga peluru hidup dipercayai untuk raifal M-16 ketika datang mengambil barang disimpan dalam peti besi miliknya di cawangan bank di Jinjang, 11.15 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sentul Asistan Komisioner R Munusamy berkata, suspek ditahan polis selepas menerima maklumat daripada pihak bank mengenai tindakan suspek menyimpan peluru hidup itu di dalam peti besi yang disediakan pihak mereka.

"Pihak bank menyedari suspek menyimpan peluru itu selepas mereka terpaksa memecahkan peti besi milik suspek kerana ingin bertukar cawangan.

“Suspek sudah dimaklumkan namun tidak datang menuntut barangan di dalam peti besi itu sehingga hari ini," katanya kepada pemberita dalam satu kenyataan, hari ini.

Munusamy berkata, ketiga-tiga peluru hidup itu dibungkus di dalam beg plastik lutsinar bersama beberapa barangan lain.

Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960. -myMetro