Sister In Islam Promosi Pemikiran Yahudi, Nasrani - Pemuda PAS

Datin Paduka Marina Tun Mahathir antara pemimpin SIS yang vokal
KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda PAS Pusat menyifatkan Sisters in Islam (SIS) sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuang fahaman sesat kerana cuba mempromosikan pemikiran Yahudi dan Nasrani dengan menyatakan manusia sebagai anak-anak Allah.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi sehubungan itu berkata, pertubuhan tersebut perlu diharamkan kerana tindak-tanduk SIS yang menyebarkan fahaman liberal atas nama Islam, jika tidak dihalang akan memberi kesan buruk kepada masyarakat.

Beliau yang juga anak kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menambah, konsep liberal yang dibawa pertubuhan tersebut dengan mempromosi pegangan serta amalan tidak berlandaskan syariat agama jelas menyalahi tujuan sebenar agama Islam diturunkan kepada manusia.

“Sebarang usaha menyebarkan fahaman liberal atas nama Islam adalah kesesatan yang terang lagi nyata. SIS secara terang telah mencabar akidah Islamiah apabila bertindak mempromosikan pemikiran Yahudi dan Nasrani dengan menyatakan manusia sebagai anak-anak Allah.

“Kesemua tindak tanduk dan pendirian SIS mewajarkannya diharamkan secara serta merta tanpa kompromi lagi setelah kedegilan kumpulan ini mencetuskan pelbagai polemik fahaman dan pegangan umat Islam negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 






Sumber: Utusan