KUALA LUMPUR – Tindakan `Sisters In Islam’ (SIS) mencabar fatwa
berkenaan fahaman liberalisme melalui Mahkamah Sivil merupakan usaha
untuk mengheret institusi agama Islam agar dibicarakan di mahkamah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom
berkata, institusi Islam seperti Majlis Agama Islam negeri harus
berganding bahu bagi menghadapi gelombang tentangan bentuk baharu
terhadap agama Islam tersebut.
“Kita menyedari agenda di luar Islam yang bersungguh-sungguh untuk
memesongkan akidah umat Islam melalui pelbagai cara. Oleh itu, adalah
penting umat Islam untuk berwaspada dengan fahaman ini demi
mempertahankan akidah,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Jamil Khir bagaimanapun mengingatkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
dalam kes berkaitan fatwa ESQ Leadership Centre Sdn. Bhd. pada tahun
2010 pernah menolak permohonan pihak yang mencabar fatwa di Mahkamah
Sivil atas alasan Mahkamah Sivil tidak mempunyai kuasa mendengar kes-kes
berkaitan fatwa dan syariah.
Media pada 31 Oktober lalu melaporkan badan bukan kerajaan (NGO) SIS
memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan fatwa Selangor
mengharamkan pertubuhan itu kerana dianggap sesat.
Pertubuhan yang lebih dikenali sebagai SIS, menamakan tiga responden
iaitu Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor, Majlis Agama Islam Selangor
(MAIS) dan kerajaan Selangor.