Skuad #LangMerah Dapat Tajaan Syarikat Antarabangsa! #PulunKedahPulung #KedahSerataRata

Skuad Hijau Kuning disahkan telah bersetuju memilih dan menerima tajaan baharu dari sebuah syarikat pembekal pakaian sukan bertaraf antarabangsa, Warrix Sports Co. Ltd, yang berpengkalan di Bangkok, Thailand, bagi musim Liga Malaysia 2015.

Menurut Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA), perjanjian persefahaman telah pun ditandatangani di Bangkok pada 11 November lalu di antara wakil KFA, Aminuddin Omar, yang merupakan Setiausaha Kehormat KFA dengan Pengarah Urusan Warrix.

"Berbeza dari tradisi penajaan pakaian sukan sebelum ini, pihak Persatuan Bolasepak Kedah telah bersetuju dengan tawaran Warrix Sports Co. Ltd. yang berpengkalan di Bangkok, Thailand untuk menaja skuad hijaukuning bagi musim Liga Malaysia 2015.

"Satu perjanjian persefahaman telah ditandatangani oleh wakil Persatuan Bolasepak Kedah, En Aminuddin Omar, Setiausaha Kehormat KFA dengan pengarah urusan Warrix di Bangkok 11 November lepas," memetik sumber laman Facebook rasmi KFA.

Difahamkan bahawa tajaan syarikat berkenaan turut meliputi penajaan kelengkapan pakaian sukan tertakluk kepada kontrak akhir untuk skuad Liga Premier, Piala Presiden dan Piala Belia Kedah.

Menurut sumber lagi, Warrix turut menaja pasukan utama Liga Premier Thailand yang terkenal seperti Chiang Mai FC dan Nakhonratchasima Mazda FC.

Sebelum ini, Warrix juga menaja skuad sepaktakraw Malaysia dan Kedah merupakan pasukan bola sepak pertama ditaja setakat ini. -KedahNews.com