Lakaran artis reka bentuk Stadium Olimpik Musim Panas Tokyo 2020 hasil idea arkitek Zaha Hadid. |
TOKYO – Seorang arkitek terkemuka Jepun dan dianggap antara arkitek
terbaik dunia, Arata Isozaki, mengkritik reka bentuk Stadium Olimpik
yang bakal dijadikan venue utama temasya terbesar antarabangsa di sini
pada 2020 sebagai amat buruk seumpama seekor penyu.
Stadium utama sukan musim panas itu yang dihasilkan warga British
kelahiran Iraq, Zaha Hadid turut dikritik ramai arkitek tempatan sebagai
amat mahal dari segi kos pembinaan dan bakal menjejaskan kawasan
persekitaran yang terkenal dengan landskap kehijauan.
“Dua tahun lalu, saya fikir cadangan Zaha akan menggambarkan reka
bentuk urban abad ke-21, namun sebaik melihat balik lukisan beliau, saya
amat terkejut mendapati ia terlalu buruk seperti seekor penyu,” kata
Isozaki ketika dihubungi agensi berita AFP hari ini.
Arkitek berusia 83 tahun secara sinis berkata, imej penyu pada bentuk
stadium itu seumpama menanti Jepun cepat tenggelam karam agar ia boleh
berenang ke tempat lain pula manakala pengkritik lain membidas saiz
bangunan yang terlalu besar dan bajet kos amat mahal.
Isozaki yang terkenal dalam mereka bentuk banyak mercu tanda terbaik
di dunia termasuk stadium tertutup Olimpik Barcelona Sepanyol 1992 dan
arena utama Olimpik Musim Sejuk Turin Itali 1996 bagaimanapun hairan
dengan idea rekaan terbaharu Zaha kali ini.
“Dia seorang wanita cukup profesional dan hasil kerjanya sebelum ini
amat cemerlang. Saya rasa masih belum terlambat minta Zaha cipta semula
dengan rekaan lain,” kata Isozaki yang pernah terlibat dalam pasukan
reka bentuk tama tema Disney di Florida, Amerika Syarikat.
Gabenor Tokyo, Yoichi Masuzoe baru-baru ini dilaporkan berkata,
pihaknya mengkaji semula pembinaan 10 fasiliti sukan baharu selain
pengubahsuaian dua kompleks sukan sedia ada manakala stadium utama
dianggarkan bernilai AS$1.6 bilion (RM5.3 bilion). – Agensi