Street Dakwah Sasar Anak Muda


TELUK INTAN  – Sebanyak 1,000 warga Teluk Intan membanjiri Menara Condong di sini bagi menyaksikan hiburan berbentuk Islamik dinamakan Street Dakwah: Dari Masjid Ke Jalanan di sini, semalam.

Program bermula pukul 6 petang sehingga 12 tengah malam itu antara lain menampilkan artis jemputan seperti Iwan Dangdut, Wahid Senario dan Ustaz Zul Ramli.

Pengarah program, Haslan Harizad berkata, tujuan Street Dakwah diadakan adalah bagi memberi kesedaran khususnya kepada golongan muda supaya tidak memandang ringan akan agama Islam.

“Selain berhibur dengan konsert berbentuk Islamik, kita juga menunjukkan cara mengambil air sembahyang dengan betul serta mengadakan sesi soal jawab mengenai sebarang permasalahan berkaitan agama.

“Kita hendak memupuk kesedaran bahawa agama Islam tidak seharusnya dengan mudah dipermainkan atau dipersendakan oleh orang lain,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Haslan, sebelum ini, program seumpama itu pada kebiasaannya diadakan di sekitar kawasan Ipoh, namun, Menara Condong Teluk Intan dipilih kali ini berikutan ramai orang berkunjung ke sini terutamanya pada malam minggu.

Sumber: Utusan