Suami Penumpang #MH370 Terpaksa Nikah Di Siam...

Ekoran status penumpang dan kru pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang sehingga kini masih belum diketahui masih hidup ataupun mati, suami seorang daripada penumpang pesawat itu terpaksa bernikah di negara jiran sebelum mendaftarkan perkahwinan barunya itu di Malaysia.

Pasangan berkenaan juga mungkin berdepan tindakan undang-undang kerana mengamalkan poligami tanpa kebenaran kerana isteri baru lelaki berkenaan bermadu dengan seseorang yang tidak diketahui status hidup atau matinya.

Memetik laporan Mstar Online, satu sumber berkata suami berkenaan sebelum itu memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami di Mahkamah Tinggi Syariah pada awal bulan ini.

Lelaki itu yang juga bapa kepada empat anak kemudiannya menghadapi kesukaran kerana tidak dapat mengemukakan surat kebenaran isteri pertamanya untuk membolehkannya bernikah untuk kali kedua.

“Sijil kematian isterinya juga tidak dikeluarkan, jadi sukar untuk bernikah dalam negara, oleh itu pasangan itu ke Songhkla, Thailand dan kini memfailkan permohonan daftar nikah untuk berpoligami,” katanya.

Menurut sumber, lelaki itu mengahwini seorang wanita yang berasal dari Muar, Johor dan bertugas di Kuala Lumpur.

Majlis pasangan mempelai berkenaan juga diadakan secara kecil-kecilkan di sebuah homestay di Langat pada bulan lepas.

Pesawat MH370 sedang dalam penerbangan ke Beijing, China dari Kuala Lumpur sebelum hilang dari pengesanan radar pada awal pagi 8 Mac lepas.

Hasil siasatan antarabangsa menunjukkan, analisis satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat MH370 ialah di kawasan selatan Lautan Hindi di barat Perth, Australia.

Baru-baru ini, Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid meminta mufti dan pihak berkuasa agama mengeluarkan fatwa bagi menjelaskan kekeliruan dialami waris penumpang dan kru pesawat itu yang masih hilang sehingga kini.

Menurut beliau, fatwa itu amat diperlukan untuk mencari jalan penyelesaian dan tidak timbul kekeliruan dari segi harta, wasiat, insurans dan sebagainya berkaitan anggota keluarga mereka.







Sumber: Mynewshub.cc