Syabas Polis Kedah, Rampas 53 Mesin Judi Sebulan!

ALOR SETAR - Polis Kedah akan terus memerangi aktiviti mesin judi haram di negeri ini dalam usaha membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa.

Pemangku Ketua Polis Kedah, Datuk Zakaria Yusof berkata sepanjang Oktober lepas, pihaknya melancarkan serbuan ke atas premis yang menjalankan kegiatan perjudian haram dan merampas 53 mesin judi.

"Dalam tempoh sebulan, kita melancarkan 87 serbuan ke atas premis yang menjalankan kegiatan mesin perjudian yang melibatkan 40 tangkapan, 53 rampasan mesin yang melibatkan wang rampasan sebanyak RM982.

"Selain itu, kita juga mengambil tindakan bagi membanteras kegiatan loteri awam tanpa lesen dalam tempoh sama yang melibatkan 54 serbuan, 43 tangkapan dan wang rampasan bernilai RM3,301," katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini, semalam.

Sementara itu, beliau berkata polis juga berjaya menahan 20 wanita warga asing dalam operasi 'Ops Noda' yang dijalankan sepanjang bulan lepas dalam 11 serbuan di sekitar Kedah.

"Bagi 'Ops Noda' 11 serbuan telah dijalankan dengan 32 tangkapan melibatkan 20 wanita warga asing iaitu 17 Thailand, dua Myanmar satu Vietnam.

"Kesemua mereka akan dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan Imigresen 1963," katanya. - Bernama