Tahniah: Tunku Puteri Intan Safinaz Dimasyhurkan Canselor UUM


SINTOK – Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah hari ini dimasyhurkan sebagai Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) yang baharu.

Majlis pemasyhuran Canselor itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

Majlis pemasyhuran itu diadakan sebelum bermulanya sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-27 UUM di Dewan Mu’azam Shah, UUM di sini hari ini.

Tunku Puteri Intan Safinaz kemudian mengurniakan Ijazah Doktor Falsafah kepada dua tokoh iaitu bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu bagi Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Pembangunan) manakala seniman Datuk Mohd Nasir Mohamad atau M. Nasir menerima Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Pengurusan Industri Kreatif).

Majlis konvokesyen akan berlangsung dalam sembilan sesi bermula hari ini sehingga 12 Nov. Secara keseluruhan, seramai 6,608 graduan bakal menerima ijazah masing-masing termasuk 482 graduan asing dari 26 negara. – BERNAMA