Tak Puas Hati? Ini Jawapan Dari JPJ...


Akhir-akhir ini, kecoh di laman sosial apabila rakyat marhaen membidas operasi khas pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap penguatkuasaan nombor pendaftaran kenderaan, larangan penggunaan lampu ‘strobe light’ dan lampu HID serta peraturan baru penggunaan cermin gelap.

Mereka bertindak membangkang usaha pihak JPJ dalam melakukan operasi tersebut, terutama penguatkuasaan nombor pendaftaran kenderaan dan peraturan penggunaan cermin gelap.

JPJ 11 jpj 11 saman polis

Bukan itu sahaja, ada pihak yang lebih berani, tampil mendakwa sebuah kenderaan milik Pengarah JPJ, yang memiliki saman tertunggak berjumlah RM 1350 dan menggunakan cermin gelap.

Rentetan dari isu tersebut, satu jawapan pencerahan telah dikeluarkan pihak JPJ melalui muat naik satu artikel di laman sosial Facebook rasminya, ‘Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia’ semalam.
Berikut merupakan ulasan yang dibuat JPJ tentang kenyataan terdahulu yang dikeluarkan Ketua Pengarahnya, Datuk Sri Ismail Ahmad.

‘Semua tahu JPJ bermatlamat untuk MENGURANGKAN KADAR KEMALANGAN DAN KEMATIAN DI ATAS JALAN RAYA.

Mungkin perlu saya jelaskan dengan lebih terperinci atau ‘rephrase’ kenyataan 
Ketua Pengarah JPJ bahawa, kematian di atas jalan raya merupakan pembunuh nombor 3 di Malaysia. Menurut statistik pada tahun 2013, sebanyak 6,915 kematian dicatatkan. Daripada jumlah tersebut satu kajian telah dibuat dan mendapati sekiranya tiada langkah penguatkuasaan diambil terhadap pengguna jalan raya maka unjuran kes kematian pada tahun 2020 akan mencecah kepada 10,716 kematian.

Melihat kepada jangkaan tersebut JPJ sebagai agensi yang bertanggungjawab perlu lakukan sesuatu. Oleh itu, Ketua Pengarah JPJ dengan penuh iltizam bersama2 dengan anggota JPJ telah tekad untuk memastikan jumlah kadar kematian ini perlu dikurangkan. Penunjuk Prestasi indeks (KPI) telah dijadikan kayu ukur kepada semua warga JPJ untuk mencapai matlamat murni Ketua Pengarah tersebut. 

KPI yang telah ditetapkan pada tahun 2020 adalah pengurangan jumlah kadar kematian di jalan raya sebanyak 50%. Makna kata, daripada jumlah unjuran yang dijangka iaitu 10,716 kematian pada tahun 2020, JPJ perlu memastikan kadar kematian tersebut tidak melebihi 50% (atau 5,358 kes kematian). 

Kenapa tidak KPI jumlah kematian dikurangkan sehingga 100%? 

JPJ sentiasa realistik dalam isu penguatkuasaan, kerana perlu diketahui bahawa jumlah kenderaan baharu sentiasa meningkat saban tahun, malah purata hampir 600,000 pemandu baharu bakal didaftarkan setiap tahun. Justeru itu KPI tersebut adalah sesuatu yang rasional seiring dengan matlamat antarabangsa untuk menjadi negera maju pada tahun 2020 nisbah kematian dijalan raya sebanyak 2:10,000 kenderaan.’

Selain itu, melalui artikel tersebut juga, pihak JPJ menerangkan tentang relevan perlaksanaan operasi khas itu terhadap pengguna jalan raya.

4) Penguatkuasaan nombor pendaftaran kenderaan (no plat) boleh menyebabkan kemalangan dan kematian ke?

Saya cukup bersetuju bahawa plat no kenderaan tidak langsung menjadi punca kemalangan. Tapi anda semua juga perlu bersetuju bahawa plat no kenderaan merupakan medium KAWALAN KESELAMATAN kepada 7 KESALAHAN UTAMA yang menjadi punca atau penyebab kemalangan dan kematian:

-tali pinggang/topi keladar
-telepon bimbit
-potong garisan berkembar
-langgar lampu isyarat
-potong garisan
-lorong kecemasan
-had laju

Langkah PENCEGAHAN/KAWALAN/PENGUATKUASAAN ke atas 7 Kesalahan Utama ini hanya boleh dilaksanakan sekiranya identiti kenderaan (melalui spesifikasi no plat kenderaan yang ditetapkan) dapat dikenal pasti. 

Contoh kesalahan had laju tidak dapat dicegah sekiranya no plat ‘fancy’ digunakan. Contoh lain pula laporan polis yang dilaporkan oleh orang awam untuk kesalahan langgar lari akan menjadi sukar sekiranya pengadu tidak menyatakan no plat kenderaan. (Alasan yang selalu diterima ialah plat no kurang jelas).

5) Penguatkuasaan Lampu HID dan strobe light pula apa kaitannya?

Sebagai pengguna bagi kedua2 item ini anda mungkin anggap ianya sesuatu ‘keperluan’ (mudah dilihat/ nak nampak cantik) kenderaan anda tapi perlu diingatkan bahawa daripada uji kaji yang dibuat pengguna kedua2 item ini boleh menyilaukan mata pengguna jalan raya yang lain serta kebarangkalian untuk gagal mengawal kenderaan dan terbabas akan berlaku. Mengambil kira faktor untuk memastikan SEMUA PENGGUNA JALAN RAYA SELAMAT, JPJ perlu menguatkuasakan item2 ini.

6) Penguatkuasaan cermin gelap adalah undang-undang lapuk?

Kita semua perlu bersetuju bahawa mentaliti rakyat Malaysia tidak seperti negera maju (membenarkan penggunaan cermin gelap). Mengambil kira perkara ini, seperti isu no plat kenderaan, penguatkuasaan cermin gelap juga merupakan medium bagi KAWALAN KESELAMATAN. 

Contoh, sekiranya pemandu bagi kenderaan yang menggunakan cermin gelap ini tidak memakai tali pinggang keladar atau menggunakan telepon bimbit semasa memandu, anggota penguatkuasa sukar untuk melaksanakan tindakan pencegahan terhadap kesalahan tersebut sedangkan kesalahan yang dilakukan ini boleh menjadi punca berlakunya kemalangan. 

Untuk makluman semua, peraturan penggunaan cermin gelap dibuat adalah berdasarkan kepada input dan pandangan daripada beberapa agensi yang berkepentingan seperti PDRM, MIROS, JKJR, SPAD, MOT, dan beberapa agensi penguatkuasaan yang lain. Mereka terlibat atas alasan membawa matlamat agensi masing2. Masihkah anda ingat kes Noor Suzaily Mukhtar yang dirogol di dalam bas bercermin gelap. Kesemua ini telah diambil kira dalam mencapai satu keputusan yang relevan untuk kesejahteraan bersama. 

Kesimpulannya, keselamatan jalan raya sebenarnya isu sejagat yang memerlukan perhatian dan tindakan secara bersepadu oleh kita semua rakyat Malaysia. Selaku agensi yang bertanggungjawab melaksanakan penguatkuasaan di atas jalan raya, kami memohon jasa baik dan kerjasama daripada semua untuk kita bersatu padu dalam menangani isu kemalangan dan kematian di atas jalan raya. 

Walaupun mengharapkan agar ramai pihak memahami hasrat JPJ untuk menurunkan jumlah kemalangan maut di Malaysia, namun, melalui ruangan komen di laman Facebook rasminya, ramai pihak masih meluahkan ketidakpuasan hati.

Antara yang dipertikaikan pengguna adalah relevan perlaksanaan operasi cermin gelap hanya menggunakan alasan kes rogol membabitkan Noor Suzaily Mukhtar yang berlaku di dalam bas kira-kira empat tahun lalu.

Menurut pengguna, kes itu merupakan terpencil dan ia berlaku bukan dalam kereta tetapi di dalam pengangkutan awam.

Untitled

Solusi terhadap isu ini masih menjadi perdebatan hangat dalam kalangan pengguna yang tidak berpuas hati dengan alasan yang diberi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terhadap perlaksanaan operasi khas tersebut.

Jalan terbaik, pihak berkuasa tersebut perlu mengadakan kajian yang lebih mendalam sebelum agar ia tidak dilihat sebagai beban yang perlu ditanggung rakyat biasa.



Sumber: Mynewshub.cc