Tak Tahan Provokasi, Pak Jabit Marah Penyokong Saiful

Tidak tahan menerima sedikit provokasi "ringan", Pak Jabit meluahkan rasa marahnya terhadap sekumpulan penyokong Saiful Bukhari Azlan yang dikatakan cuba mencetus suasana tegang dengan kumpulannya yang menyokong Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Kata Pak Jabit, penyokong bekas pembantu peribadi yang sebelum ini menerima layanan "istimewa" Anwar itu tidak sepatutnya menghampiri kawasan yang kononnya "dikhaskan" untuk penyokong Orang Kena Tuduh (OKT) itu.

"Dia datang kawasan kita, dia buat provokasi. Dia datang tidak beradab.

"Kita (penyokong Anwar) tidak mahu publisiti, dia (penyokong Saiful) datang hendak lagakan kita.

"Dia selalu di sana (merujuk kepada kawasan bersebelahan yang dikhaskan untuk penyokong Saiful), tetapi hari ini dia datang ke kawasan kita buat kecoh, ini tidak baiklah," kata Pak Jabit yang dipetik dari Sinar Harian.

Pak Jabit merupakan watak yang dibawa oleh pelakon, Man Kadir, di dalam filem "Hantu Kak Limah" yang sememangnya merupakan penyokong tegar Anwar.

Bermula lima hari lepas, kes rayuan Liwat II diperdengar di depan lima orang panel Hakim di Istana Kehakiman di Putrajaya menyaksikan pihak pembelaan yang mewakili Anwar memulakan sesi berhujah.

Seawal hari pertama hinggalah hari keempat, perkarangan Istana Kehakiman dihadiri para penyokong Anwar dengan melakukan pelbagai provokasi seperti membakar baju penyokong Saiful Bukhari, menimbulkan ketegangan dengan pihak berkuasa dan menjerit-jerit di kawasan tersebut.

Meskipun penyokong Anwar yang hadir hanyalah sedikit berbanding di zaman Reformasi 1998 dulu, namun mereka tetap mempamerkan aksi-aksi provokasi namun pihak berkuasa berjaya mengawal keadaan.