SINGAPURA – Pengendali skuad Harimau Malaya, Dollah Salleh
berpuashati dengan keputusan saat-saat akhir untuk merombak jentera
serangan negara sewaktu menentang Singapura di Stadium Nasional,
Singapore Sports Hub, malam ini.
Langkah itu mendatangkan hasil, kata beliau.
Bekas Ketua jurulatih Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu berkata
penyerang kembar negara, Mohd Safee Mohd Sali dan Norshahrul Idlan
Talaha cuba mencari gol kemenangan pada aksi terakhir kumpulan B Piala
AFF Suzuki 2014 itu, namun gagal.
“Sebab itu saya mengambil keputusan untuk memasukkan Abdul Manaf
(Mamat) dan Indra Putra (Mahayuddin) pada saat-saat akhir bagi
menggantikan mereka berdua dan ia nyata berbaloi.
“Apa yang menarik mengenai Indra Putra adalah beliau mampu
menjaringkan gol daripada sudut yang sukar dan beliau wajar dijadikan
contoh oleh beberapa pemain muda kita,” kata Dollah kepada pemberita
selepas perlawanan itu.
Kemenangan 3-1 yang diraih Malaysia pada perlawanan malam ini membawa
skuad negara ke peringkat separuh akhir berdepan juara kumpulan A,
Vietnam, awal Disember ini.
Dollah turut memuji kesemua barisan pemain negara termasuk pemain
sayap, Azamuddin Mohd Akil yang berusaha untuk mencipta peluang jaringan
kepada jentera serangan ketika skuad negara terdesak untuk memenangi
perlawanan tersebut untuk terus kekal bersaing.
“Saya amat berbangga kerana semua pemain tidak mudah berputus asa ketika kita terdesak untuk mencari gol kemenangan.
“Saya agak bimbang sewaktu kita terikat seri 1-1, namun para pemain
tidak patah semangat dan bangkit meraih kejayaan,” jelas Dollah.
Berkongsi pandangan yang sama adalah Mohd Safee yang berpuashati
dengan persembahan yang dipamerkan oleh rakan sepasukan walaupun
berdepan tekanan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong Singapura.
“Pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya harap kita dapat
meneruskan rentak kemenangan ini apabila menentang Vietnam nanti,” jelas
penyerang kelab Johor Darul Ta’zim itu.
Thailand yang muncul juara kumpulan B susulan kemenangan 3-1 ke atas
Myanmar di Stadium Besar, malam ini bakal menentang naib juara kumpulan
A, Filipina pada peringkat separuh akhir.
Aksi separuh akhir akan dilangsungkan mengikut format kalah mati
iaitu separuh akhir pertama pada 6 dan 7 Disember diikuti separuh akhir
kedua pada 10 dan 11 Disember ini. – BERNAMA