LABUAN – Taman Laut Labuan kini menjadi habitat kepada pelbagai
ekosistem marin terdiri daripada pelbagai spesies ikan dan terumbu
karang sejak ia digazetkan pada 1994.
Pengarah Jabatan Taman Laut Labuan Anuar Deraman berkata sejumlah 176
spesies ikan dengan sebahagian besarnya dikategorikan di bawah spesies
marin komersial dan 161 spesies terumbu karang ditemui di taman laut
berkenaan yang terdiri daripada Pulau Kuraman, Pulau Rusukan Besar dan
Pulau Rusukan Kecil.
“Kawasan terumbu karang di taman laut ini diklasifikasikan dalam
keadaan baik dan sederhana baik,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, taman laut berkenaan juga menjadi laluan penghijrahan
kepelbagaian spesies ikonik dan organisma laut termasuk ikan yu paus,
ikan lumba-lumba, ikan pelagik, Penyu Karah (Eretmochelys imbricata) dan
penyu hijau (Chelonia mydas).
Menurut beliau, sebelum ini ekosistem terumbu karang dan sumber
biodiversiti marin di taman laut ini tidak dilindungi, namun kini ia
dijaga dengan baik selepas disenaraikan sebagai taman laut yang
dilindungi di negara ini.
“Kami telah menurunkan sekurang-kurangnya 20 tukun tiruan pada tahun
2009 untuk memelihara dan memulihkan terumbu karang yang rosak
disebabkan aktiviti penangkapan ikan secara haram sebelum ini,” katanya.
Katanya, jabatan itu juga telah memulakan lebih 20 program pendidikan
dan kesedaran mengenai pemuliharaan sumber marin di taman laut
berkenaan. – BERNAMA