Antara perkembangan sihat dalam kalangan kaum ibu pada zaman ini
adalah kesedaran mengambil tahu tentang kandungan makanan dan bahan
masakan untuk keluarga.
Bagi umat Islam pula, status halal kini menjadi aspek penting ketika memilih produk dan tempat makan.
Tak hairanlah apabila bahan kimia berbahaya didakwa dikesan dalam
sesuatu produk atau jenama tertentu dikatakan tidak halal, tersebar di
laman sosial, maka ia boleh memberi kesan pada jualan produk berkenaan.
Terbaharu 27 Oktober lalu, sebuah akhbar tempatan melaporkan tentang
benzoil peroksida yang digunakan dalam tepung boleh menyebabkan penyakit
kronik seperti kanser.
Dakwaan dalam laporan tersebut dibuat oleh Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam (PPIM).
Sedikit sebanyak laporan ini sudah tentu menggusarkan pengguna malah
diakui, isu bahan peluntur bahaya diguna untuk menjadikan warna tepung
gandum putih melepak ini sudah lama bertebaran di laman sosial.
Bagaimana pun usah terlalu khuatir kerana Kementerian
Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan akhbar bertarikh 28 Oktober
2014 telah menafikan perkara ini.
Dalam laporan penafian
tersebut, diterangkan bahawa benzoil peroksida adalah kondisioner
makanan yang dibenarkan dalam Peraturan-Peraturan Makanan 1985 (PPM
1985) untuk digunakan dalam tepung pada tahap tidak melebihi 50 mg/kg.
Codex Alimentarius Commission (CAC), badan antarabangsa yang
ditubuhkan di bawah Joint FAO/WHO Food Standards Programme pula
membenarkan penggunaan benzoil peroksida dalam tepung gandum pada kadar
tidak melebihi 75 mg/kg.
Di samping itu, penambahan benzoil peroksida dalam tepung gandum
telah dibenarkan di Singapura, Jepun dan Amerika Syarikat manakala
Australia New Zealand Food Standards Code membenarkan ia digunakan dalam
semua makanan.
KKM turut mengesahkan, setakat ini bukti saintifik turut menyangkal dakwaan bahawa benzoil peroksida berbahaya kepada kesihatan.
Diharapkan pengesahan jelas daripada KKM ini dapat menghilangkan
was-was terhadap keselamatan menggunakan tepung gandum selepas ini,
sekaligus membolehkan para suami dan anak-anak merasa makan kuih
jemput-jemput semula.
Lepas ini jika anda ada rasa ragu-ragu dengan tahap kesihatan produk
tertentu di pasaran, maka jangan berlengah untuk minta KKM siasat
kesahihannya dengan memaklumkan kepada mereka melalui Pejabat Kesihatan
Daerah (PKD), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat, mahu pun laman
web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM).
Tahniah buat KKM atas respon berkaitan isu peluntur tepung gandum
yang kononnya boleh menyebabkan kanser kerana isu ini sebenarnya dah
lama jadi persoalan dalam masyarakat.
Sumber: Mynewshub.cc