KOTA BHARU – Kerajaan Kelantan tidak teragak-agak untuk menutup
pertunjukan gadis ular yang sedang berlangsung di Muzium Kelantan
sekiranya gadis berkenaan masih gagal menutup aurat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan
Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata semua pertunjukan
yang diadakan perlu mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan negeri.
“Kita akan arahkan dia untuk berhenti sekiranya masih gagal mematuhi
peraturan yang ditetapkan dan setakat ini terdapat laporan yang dia
tidak menutup aurat,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco
kerajaan negeri di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.
Sekiranya ingin mengadakan pertunjukan, gadis itu perlu berpakaian
sopan iaitu menutup aurat kerana ini melibatkan tempat awam, katanya.
Pameran dan Pertunjukan Ular yang diadakan di Muzium Negeri Kelantan
selama sebulan bermula Isnin lepas menampilkan Rahiza Abdul Rahim, 28,
yang lebih dikenali dengan gelaran ‘Baby Andryanna’ berada di dalam
sebuah bilik kaca bersama 60 ekor ular. – BERNAMA