Terkilan Teguran Terbuka Tun M

SHAH ALAM - Teguran terbuka dibuat bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dianggap tidak molek kerana hal dalaman Umno tidak sepatutnya disensasikan kepada umum.

Adun Permatang, Sulaiman Razak berkata, lebih baik sekiranya teguran itu disebut dalam hierarki parti bukannya didedahkan kepada media kerana setiap pemimpin mempunyai penyokong sekali gus menjadikan situasi dalaman parti kian tegang.

“Teguran seperti itu tidak salah cuma lebih afdal jika dibuat secara tertutup di peringkat pimpinan kerana ahli Umno tidak pernah menolak atau menghalang rombakan namun teguran terbuka itu sedikit sebanyak telah mencalarkan sokongan sedia ada.

“Kita terima teguran itu, malah sekiranya kepimpinan rasa prestasi kepimpinan Selangor sekarang tidak memuaskan dan memerlukan perubahan. Jadi tidak perlulah pendapat ramai kerana mereka (pimpinan) berhak untuk buat keputusan untuk pilih pemimpin gantian yang lebih diyakini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang hampir 22 tahun bersama Umno Selangor berkata, pimpinan negeri menyerahkan hak merombak dan melantik kepimpinan parti baharu kepada Majlis Tertinggi.

“Kita anggap rombakan ini sebagai satu proses pembaharuan Umno dan tidak menghalangnya. Namun sedikit terkilan dengan teguran yang dibuat secara terbuka oleh Dr Mahathir, ia mencalarkan imej  kita di mata penyokong,” katanya.

Rabu lalu, Dr Mahathir dalam blognya telah membuat satu teguran terbuka kepada Umno Selangor agar membuat perubahan menerusi pembubaran dan penyusunan semula termasuk menerima ahli baru yang berbakat.

Bekas Presiden Umno itu berkata, ahli baru perlu ditapis bagi mengelakkan kewujudan makhluk perosak yang ingin memperalat parti itu untuk agenda peribadi.

Katanya, Umno Selangor juga perlu berusaha menarik pemuda Melayu menyertai Umno dengan mendekatkan diri dengan mereka yang bukan ahli termasuk mereka yang menentang Umno. -Sinar Harian