SERI KEMBANGAN – Kerajaan tidak bercadang mengecualikan semua ubat
daripada dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) apabila ia
dilaksanakan pada April tahun depan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata kementerian itu
telah mengenal pasti 320 sebatian kimia yang diluluskan untuk sifar
kadar dalam GST, termasuk lebih 4,200 jenama ubat.
“Setakat ini, tiada rancangan untuk mengecualikan semua ubat daripada
dikenakan GST… tapi kami juga akan cuba agar penggunaan kelengkapan
asas perubatan bagi mengurus dan merawat pesakit turut diletakkan dalam
kategori itu,” katanya selepas merasmikan Simposium Neuro Malaysia (MNS)
di sini hari ini.
Beliau berkata ubat-ubatan yang tidak termasuk dalam senarai
ubat-ubatan perlu, akan dikenakan GST apabila ia dilaksanakan pada April
tahun depan.
Dr Subramaniam berkata demikian bagi mengulas tindakan Persatuan
Farmaseutikal Malaysia (MPS) merayu kepada kerajaan pada Isnin agar
semua ubat tidak dikenakan cukai di bawah GST.
Sementara itu, mengulas kenyataan Anggota Parlimen Pasir Mas Nik
Mohamad Abduh Nik Abd Aziz yang menyalahkan Thailand berikutan kadar
jangkitan tinggi HIV di Kelantan, Dr Subramaniam berkata Pas perlu
mendidik rakyat tentang isu itu.
“Ia berkaitan pilihan individu, jadi kerajaan Kelantan yang dipimpin
Pas perlu mendampingi rakyat untuk mendidik mereka, menguatkan mereka
dari segi mental.
“Kita tidak boleh menyalahkan sesiapa, sempadan akan tetap berada di
situ dan terserahlah kepada orang untuk menentukan pilihan mereka…
memandangkan mereka diperintah oleh Pas, mereka sepatutnya lebih baik,”
katanya.
Terdahulu, ketika merasmikan MNS, Dr Subramaniam berkata simposium
itu bertujuan memperkenalkan dimensi baharu dalam pengurusan gangguan
neuro-psikiatri, khususnya dalam bidang autisme, gangguan stres
pasca-trauma, schizophrenia dan banyak lagi.
“Terapi Resonan Magnetik, satu metadologi bukan invasif yang
menggunakan gelombang elektro-magnetik untuk memodulatkan gelombang
otak, akan memberi manfaat kepada banyak pesakit yang mengalami keadaan
neurologi dan psikiatri,” katanya.
Turut hadir pada majlis perasmian simposium itu ialah Menteri Dalam
Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan isteri Datin Seri Hamidah
Khamis.
Kira-kira 100 doktor dari Malaysia, Amerika, Thailand dan Taiwan
berpeluang menyaksikan satu pendekatan inovatif dalam merawat penyakit
neuropsikatri pada simposium itu.- BERNAMA