Tom Cruise Nak Jual Rumah, Ada Sesiapa Nak Beli?

Tom Cruise
PELAKON sensasi Hollywood, Tom Cruise dilaporkan mahu menjual sebuah rumah mewah milik beliau di Telluride, Colorado, Amerika Syarikat seluas 120 hektar pada harga AS$59 juta (kira-kira RM197 juta), lapor akhbar The Wall Street Journal hari ini.

Bintang filem Mission Impossible itu dikatakan sedia menjual kediaman tersebut yang mengandungi empat bilik tidur, enam bilik air, sebuah perpustakaan, bilik rekreasi, dan gimnasium kerana tidak lagi menetap di situ sejak beberapa tahun lalu.

Rumah yang turut ada sebuah pusat hiburan, gelanggang tenis, bola keranjang dan hoki selain menghadap panorama banjaran gunung itu pernah didiami Cruise bersama-sama bekas isterinya, Katie Holmes dan anak perempuan mereka, Suri, kini berusia lapan tahun.

Pasangan itu kemudian berpisah pada 2012 dan beliau pernah menghuni rumah tersebut ketika bersama-sama dengan bekas isteri keduanya, Nicole Kidman serta dua anak angkat mereka, Connor, 19 tahun; dan Isabella, 21 tahun.

Ejen hartanah Sotheby’s International Realty, Bill Fandel mengesahkan laporan akhbar bahawa Cruise memang mahu menjual rumah itu yang dibina pada 1994, malah pernah membawa pengacara popular Oprah Winfrey merakamkan suasana kediaman itu pada 2008.

Cruise ketika itu sempat menunjukkan sebuah bilik permainan yang digunakan anaknya, Suri dan dirujuk sebagai ‘Pejabat Suri’ serta mendedahkan beliau dan Katie pernah menetap di situ buat sementara waktu sejurus Suri dilahirkan. – Agensi