Tragedi Cameron Highlands: Ahli Akademik Cadang "Pertanian Menegak" Di Tanah Tinggi

KUALA LUMPUR – Seorang pakar pertanian menyarankan agar dilakukan kaedah ‘pertanian menegak’ (vertical farming) terutama di kawasan tanah tinggi yang dapat mengurangkan penerokaan tanah baharu untuk pertanian.

Dekan Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Abdul Shukor Juraimi berkata menerusi kaedah ini, tanaman ditanam secara menegak dan bertingkat serta dapat menghasilkan hasil tanaman yang banyak walaupun keluasan tanah adalah terhad.

“Sistem ini menjimatkan ruang dan merupakan alternatif kepada sistem pertanian konvensional yang memerlukan tanah yang luas,” katanya kepada Bernama.

Beliau diminta mengulas mengenai kejadian tanah runtuh dan banjir kilat di Cameron Highlands awal bulan ini yang turut mengakibatkan lima kematian dan perpindahan penduduk daripada penempatan mereka.

Ia berpunca daripada penerokaan tanah secara haram termasuk untuk aktiviti pertanian.
Mengulas mengenai bencana akibat perbuatan manusia itu, Abdul Shukor berkata penerokaan kawasan baharu dan aktiviti pertanian di tebing atau kawasan curam perlu dielakkan dan dilarang sama sekali.

Namun katanya aktiviti pertanian tidak akan menyebabkan kerosakan dan gangguan terhadap alam sekitar sekiranya dijalankan dengan betul, bersistematik dan lestari seperti yang diamalkan di negara maju.

Beliau turut menegaskan satu garis panduan bertujuan untuk melestarikan Cameron Highlands perlu disediakan dengan gabungan pemikiran dan idea pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, akademik, saintis, pakar geologi dan penggubal dasar.

“Garis panduan yang dikuatkuasakan ini perlu dipatuhi dan diikuti dengan pemantauan berterusan dan penguatkuasaan undang-undang yang ketat.

“Ini perlu melibatkan keseluruhan komponen dalam ekosistem Cameron Highlands termasuk sumber manusia, sumber semulajadi tanah, sungai, sosioekonomi dan aktiviti ekopelancongan yang akan memberi impak utama kepada kelestarian Cameron Highlands,” tegas beliau.

Beliau turut mencadangkan agar pengusaha dan pekerja pertanian di Cameron Highlands perlu diberikan latihan dan pendedahan terhadap kesan daripada aktiviti pertanian yang tidak mesra alam.

“Mereka perlu diberi kesedaran terhadap kepentingan alam sekitar, penggunaan baja, racun dan bahan kimia yang akan memberikan kesan buruk kepada alam sekitar jika tidak dikawal,” katanya.

Mengulas isu yang sama, Prof Dr Shamsudin Jusop dari Jabatan Pengurusan Tanah UPM berkata aktiviti penerokaan tanah secara haram dan penebangan pokok boleh menyebabkan tanah kehilangan kesuburan, malah petani terpaksa menggunakan baja dengan banyak untuk menyuburkan tanaman mereka.

“Kita tahu hutan merupakan ekosistem yang mampan walaupun disirami air hujan yang banyak. Pokok di dalam hutan dengan rimbunan daun-daunnya yang lebat dan sistem akar yang kuat mampu mengurangkan kesan hakisan akibat hujan.

“Dan apabila pokok telah hapus, air hujan yang menimpa tanah akan memecahkan struktur pasir yang mempercepatkan lagi hakisan. Maka lapisan pasir yang subur di atasnya yang menyokong pertumbuhan tanaman akan turut terhapus, meninggalkan lapisan tanah yang kurang subur untuk ditanam oleh petani.

“Tidah hairan mereka terpaksa menggunakan baja yang banyak untuk menyuburkan tanaman mereka dan menghasilkan pulangan yang lumayan ,” jelasnya. – BERNAMA