Tun M dan KJ...dah "ok" ke? |
Kebanyakan pihak sedia maklum mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir
Mohamad dan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin memang ‘berlaga
angin’ dalam banyak isu.
Malah, KJ sendiri pernah mengakui beliau merupakan ‘public enemy ‘ nombor satu Tun Mahathir!
Namun hari ini, Tun M dan KJ ditemukan atas satu pentas sama
ketika majlis Pelancaran Logo dan Sidang Media Le Tour de Langkawi
(LTdL) yang diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya.
Walau banyak mata memerhati ternyata Tun M dan KJ tidak kekok bergandingan malah kelihatan mesra antara satu sama lain.
Malah dalam satu situasi, KJ selaku orang muda dilihat tunduk hormat terhadap Tun M ketika bersalaman.
Menyorot kembali sejarah ‘tak sekepala’ dua generasi pemimpin ini, mereka dilihat sering bercanggah pendirian dalam sesuatu isu.
Sebagai contoh, Tun Mahathir melalui laman blog peribadinya, Che Det
pernah menegur menteri dalam kabinet yang menghantar anak mereka ke
sekolah swasta dan antarabangsa, sekaligus melanggar polisi pendidikan
negara.
Tulis Tun, “Kemudian menteri, bertentangan polisi negara, mula hantar
anak mereka ke sekolah swasta dan antarabangsa yang banyak menggunakan
bahasa Inggeris sebagai medium pembelajaran.”
Beliau mengulas senario tidak sihat itu mengakibatkan masyarakat
biasa yang mendapatkan pendidikan di sekolah kebangsaan terpaksa
bersaing dengan golongan yang mahir menguasai Bahasa Inggeris.
Namun hujah Tun M ditepis KJ dengan menyatakan, ramai rakan
sekabinetnya menghantar anak masing-masing ke sekolah kebangsaan,
termasuk Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Melalui satu kenyataan kepada media, KJ berkata beliau sendiri
menghantar anaknya ke sekolah biasa dan bukan ke sekolah persendirian
mahupun sekolah antarabangsa.
Tak lama sebelum itu, KJ pernah menyanggah pendapat Tun M bahawa UMNO perlu berubah agar pemimpinnya boleh dikritik.
Melalui laporan portal MalaysiaKini, KJ dilaporkan menyanggah
pendapat ini dengan berkata, “Dalam UMNO, kita tidak pernah halang
sesiapa untuk kritik kepimpinan. Malah dalam mesyuarat perwakilan, kita
sentiasa beri pandangan kepada kepimpinan.”
Apabila disoal mengapa timbul isu keterbukaan dalam kritikan terhadap
UMNO, KJ membalas, “Sudah pasti soalan itu patut ditujukan kepada Tun
Mahathir.”
Begitu pun ramai lebih senang menduga, situasi tiada sefahaman ini
timbul kerana KJ merupakan menantu kepada PM kelima, Tun Abdullah Ahmad
Badawi yang sering dikritik Tun M dahulu. Betul tak?
Bagaimanapun selepas peristiwa kongsi pentas hari ini, mungkinkah
akan ada isu yang menyaksikan persamaan pendapat pemimpin dua generasi
lepas ini? Kita nantikan.