KOTA BHARU – Universiti Malaysia Kelantan (UMK) hari ini menafikan
berlaku plagiat dalam kalangan ahli akademik universiti berkenaan
seperti yang didakwa di laman sosial Facebook beberapa hari lalu.
Naib Canselornya, Datuk Dr Raduan Che Rose, berkata pihaknya memandang serius dakwaan itu dan telah melakukan siasatan.
"Ini satu kes serius dan saya telah menyiasat perkara itu dengan
memanggil kedua-dua individu terlibat iaitu individu yang kena tuduh dan
individu yang membuat tuduhan untuk menyelesaikan perkara ini.
"Saya
dapati ini disebabkan sedikit salah faham sahaja," katanya kepada
pemberita selepas Majlis Anugerah Citra 2014 UMK di Kampus Pengkalan
Chepa di sini, malam tadi.
Laman Facebook itu sebelum ini mendedahkan mengenai salah laku yang
kononnya dilakukan oleh seorang profesor dari UMK yang berdepan dengan
tuduhan plagiat ketika menyiapkan tesis kedoktoran di sebuah universiti
luar negara.
Katanya, beliau telah menghubungi universiti luar negara berkenaan untuk memaklumkan perkara itu dan ia adalah kes salah faham.
Raduan yang juga Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara berkata, isu
kredibiliti akademik menjadi satu perkara yang sangat penting dan
pihaknya tidak ada toleransi sekiranya ia benar-benar berlaku.
Beliau berkata, perkara itu tidak perlu diperbesar kerana ia hanya
satu salah faham dan telah diselesaikan selain menggesa ahli akademik
untuk menumpukan usaha membangunkan UMK ke peringkat yang lebih
dikenali.
“Saya ingin melihat tenaga kita, usaha kita dan segala apa yang ada
untuk membangunkan universiti bukan sama-sama bergaduh,” katanya. –
BERNAMA