Pemain biola terkenal dunia, Vanessa Mae mendapat malu besar selepas
dia diharamkan daripada menyertai pertandingan ski selama empat tahun
oleh Persekutuan Ski Antarabangsa (FIS).
Tindakan itu diambil setelah FIS mendapati keputusan pada sesi
kelayakan di Slovenia, pada bulan Januari lalu telah diatur, bagi
melayakkan Mae menyertai pertandingan sukan Olimpik musim sejuk Sochi
2014.
Dalam pertandingan itu, Mae, mewakili Thailand dan menggunakan nama Vanessa Vanakorn.
Keputusan itu dibuat oleh FSI selepas berpuas hati bahawa keputusan
sesi kelayakan di Slovenia yang disertai Mae telah dimanupulasikan.
FIS juga mendapati pertandingan di Slovenia itu diatur oleh syarikat pengurusan Mae dan Jawatankuasa Olimpik Thailand.
“Selepas mempertimbangkan penghujahan bertulis dan keterangan saksi
pada sesi pendengaran 3 Oktober lalu, Panel Pendengaran berpuas hati
dengan keputusan bahawa pertandingan pada 18 dan 19 Januari lalu di
Krvavec dimanupulasikan, menyebabkan pengiraan mata FIS yang tidak
mencerminkan prestasi sebenar pelumba yang mengambil bahagian khususnya
mata yang diberikan kepada Vanessa Vanakorn (Mae),’’ kata FIS dalam satu
kenyataan.
Julai lalu, Persatuan Ski Slovenia telah menggantung empat pegawainya
dan mengumumkan melancarkan siasatan terhadap dalang yang terlibat
dalam memanupulasi keputusan itu.
FIS kemudiannya mendapati hasil siasatan persatuan berkenaan
mendedahkan senarai pemain ski pada pertandingan kelayakan itu turut
memasukkan dua nama peserta yang tidak hadir.
Manakala seorang peserta diletakkan di tangga kedua meskipun dia jatuh dan mata penamatnya diubah menjadi 10 saat lebih awal.
Selain itu, FIS juga mendapati ketika sesi kelayakan tersebut, cuaca amat buruk dan ia sepatutnya dibatalkan. -Agensi