Video Buli Pelajar Terbaharu, Kali Ini Mungkin Di Utara!

Biarpun belum selesai disiasat video yang memaparkan kes pelajar bersinglet hitam membelasah pelajar beramai-ramai di asrama baru-baru ini, timbul pula kes baharu yang membuat ramai warga netizen marah "menyinga".

Penyangkut baju, kerusi plastik, ditendang, ditumbuk, disepak terajang, diheret dan dibanting ke almari pakaian, itulah nasib seorang lagi pelajar yang dibuli rakan-rakan di sebuah asrama yang tidak dapat dikenal pasti.

Yang pastinya, video kes buli terbaharu ini sedang meningkat naik "rating" tontonannya dan viral dikongsi di laman-laman media sosial.

Berdasarkan loghat dialek yang dipertuturkan para pelajar di dalam video berkenaan, berkemungkinan besar insiden buli ini berlaku di kawasan utara semenanjung tanahair.


KedahNews.com tidak pasti apa kesalahan atau dosa pelajar kecil yang dibuli oleh sekumpulan pelajar yang dipercayai lebih senior itu.

Namun apa pun kesalahannya, apakah wajar pelajar-pelajar itu membelasah rakan mereka sebegitu rupa?

Apa agaknya mereka rasa jika diri mereka dibuli, dibelasah dan didera sebegitu? Mahu? Seronok? 

Apa agaknya perasaan ibu bapa pelajar yang dibuli tersebut?

Harapan kami pada sesiapa yang punya maklumat bagi kes ini supaya tampil memberi keterangan kepada pihak berkuasa supaya menjadi teladan dan iktibar bagi pelajar-pelajar lain yang masih tidak dapat berfikir tentang kesan tindakan bodoh mereka itu.

Kami bimbang sekiranya trend buli semakin mengganas dan mencemar nama baik institusi pendidikan di negara ini dan diambil kesempatan pihak tertentu untuk mempolitikkan keadaan. -KedahNews.com