#Viral AJK 8033: "Kantoi" Dua Kereta Nombor Plat Sama!

AJK 8033 viral di internet hari ini.
Hari ini "viral" kisah mengenai dua buah kenderaan yang secara kebetulan diletak bersebelahan antara satu sama lain, namun mengejutkan keduanya mempamerkan nombor pendaftaran yang serupa!

Menurut sumber dari laman-laman sosial, kejadian itu dikatakan berlaku di Taman Melati, Gombak di mana dua kenderaan berkenaan menggunakan nombor pendaftaran "AJK 8033".

Malah dalam insiden yang mengharu-birukan itu, kedua-dua buah kenderaan juga merupakan model Wolkswagen yang sama, cuma berlainan warna sahaja.

Difahamkan bahawa kejadian yang menarik orang ramai di sekitar kawasan itu turut menyaksikan beberapa anggota polis hadir merakam gambar kedua kenderaan terbabit, dipercayai bagi membantu siasatan.

Menurut sumber lagi, individu yang memandu kenderaan terbabit dikatakan terpinga-pinga dan cuba menghubungi seseorang menerusi telefon bimbit bagi mengenal pasti punca insiden berkenaan.

Mengikut telahan KedahNews.com, perkara seumpama ini kebiasaannya berlaku apabila salah sebuah kenderaan yang telah didaftarkan secara "tidak betul" atau berkemungkinan melibatkan kes "kenderaan curi".

Biar apa pun, kami percaya pihak berkuasa mampu menyelesaikan insiden yang sedang "viral" diperkata di laman-laman sosial ini. Wallahu'alam. -KedahNews.com