Wabak Misteri Yang Menggemparkan Negara

Khinzir punca wabak
Awal tahun 1999. Seorang demi seorang penduduk Kampung Sungai Nipah, Negeri Sembilan mula jatuh sakit dan mati tanpa sebarang penjelasan.

Satu wabak misteri mula menyerang kampung itu dan merebak ke kampung berdekatan termasuk Kampung Bukit Pelanduk.

Kawasan dihuni masyarakat majmuk yang hidup penuh harmoni itu kini diselubungi panik, kekecohan dan bunyi tangisan penduduk yang meratapi kematian ahli keluarga dan jiran mereka setiap hari.

“Mereka genggam tangan saya dan kata ‘Manikam, saya pasti mati’. Memang sedih. Satu hospital penuh orang kita.”

Ketua Kampung Bukit Pelanduk, Manikam Nagamalay ditemui Sinar Harian baru-baru ini menceritakan semula detik itu.

Walaupun sudah 15 tahun berlalu, wabak virus Nipah masih segar dalam ingatan penduduk kampung terlibat.

Manikam yang baru dua tahun menjadi ketua kampung waktu itu menyifatkannya sejarah terburuk dalam hidup.

“Sekarang pun boleh menangis, macam terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata akhir diucapkan penduduk kampung semasa saya melawat di hospital,” kata Manikam.

Manikam berkata, kebanyakan penduduk mulanya mengalami sakit kepala, kemudian merebak ke belakang leher sebelum demam dan meninggal dunia, hanya dalam tiga atau empat hari.

Pegawai Kementerian Kesihatan kemudian datang ke kampung itu untuk menyembur ubat nyamuk bagi menghentikan penyebaran virus yang disangka JE itu.

“Tak cukup alat sembur (dibawa kerajaan), kami beli sendiri. Ada pemilik kandang khinzir beli ubat lebih mahal supaya lebih berkesan. Nyamuk semua mati. Tetapi lepas itu, khinzir semua masih sakit dan mula mati,” katanya.

Katanya, seluruh kampung  mula panik.

“Kami tak tahu apa nak buat, ke mana nak pergi. Kedai semua tutup,” katanya.

Menurutnya, kerajaan juga memberi  suntikan vaksin JE kepada penduduk.

“Selepas setengah bulan kejadian bermula, ada media antarabangsa datang buat liputan, mereka kata virus ini boleh kena semua orang, semua akan mati kalau tak keluar dari kampung ini,” katanya.

Sejurus amaran itu sampai ke telinga penduduk kampung, kebanyakan mereka terus berpindah keluar.

Katanya, terdapat 42 keluarga ditempatkan di Hospital Port Dickson (kini dikenali sebagai Klinik Kesihatan Port Dickson) sebagai pusat perlindungan sementara manakala penduduk lain berpindah ke rumah sanak saudara di negeri atau daerah berbeza.

Manikam yang turut membantu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) semasa krisis itu terpaksa tidur dalam kereta selama sebulan di pekarangan Hospital Port Dickson kerana perlu bersedia untuk membawa penduduk ke Hospital Seremban menggunakan keretanya sendiri jika mereka mula jatuh sakit.

Katanya, selepas semburan ubat nyamuk tidak berkesan, askar mula masuk ke kampung itu untuk menghapuskan ratusan ribu khinzir.

“Semua khinzir di kampung ini ditembak mati oleh tentera dan ditanam dalam lubang besar yang dikorek berdekatan setiap kandang. Tapi tak dapat tembak semua khinzir kerana terlalu banyak. Ada yang mati dalam kandang sebab tak dapat makanan atau sakit,” ceritanya.

Menurutnya, selepas lebih tiga bulan kampung itu sunyi tanpa penghuni, penduduk mula kembali namun dengan hati yang tidak tenang kerana takut virus itu kembali.

“Hari pertama saya kembali ke kampung ini, saya terkejut tengok ada seekor khinzir sedang merayau di tengah jalan. Saya cepat-cepat panggil askar untuk tembak khinzir itu,” katanya.

Menurutnya, sepanjang krisis itu, penduduk mendapat bantuan daripada kerajaan serta banyak pertubuhan lain.

Namun, bagi Manikam, pertolongan terbesar yang diterima penduduk kampung itu adalah daripada Tuhan.

“Masa itu musim panas luar biasa, lebih kurang enam bulan tak ada hujan, selalunya tidak begitu. Memang Tuhan tolong kita. Kalau hujan semasa wabak itu berlaku, mungkin kampung ini tidak dapat dimasuki semula sampai bila-bila kerana air yang mengalir daripada lubang di mana khinzir ditanam akan cemarkan segala-galanya,” katanya.

Wabak itu mengubah sama sekali kehidupan di kampung tersebut.

Menurut Manikam, disebabkan kerajaan menghalang penternakan khinzir di kawasan itu, penduduk bertukar kepada penanaman kelapa sawit, menternak lembu dan kambing serta keluar mencari kerja di tempat lain.

“Kalau boleh nak lupa terus, tak mahu ingat lagi,” katanya apabila ditanya sama ada penduduk kampungnya masih bercakap mengenai virus Nipah.




Sumber: Sinar Harian