Wahai Umat Islam: Bukan Zakat Fitrah Saja, Zakat Lain Pun Wajib Ditunai

INDIVIDU yang liat membayar zakat iaitu kewajipan ketiga dalam Rukun Islam bermakna mereka telah memakan harta orang lain. Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah:103, mafhumnya, bahawa dalam setiap harta yang dimiliki itu sebahagian daripadanya adalah milik asnaf.

Bahagian itu langsung tidak banyak hanya 2.5 peratus daripada pendapatan setelah ditolak segala keperluan diri dan keluarga yang dibenarkan syarak. Formulanya senang, sekiranya lebihan pen­dapatan RM10,000, hanya RM250 sahaja wajib dikeluarkan zakat.

Tanggapan pengeluaran zakat merugikan pembayarnya adalah salah kerana maksud zakat dari segi bahasa ialah bersih, suci, subur, berkat dan berkembang, sekali gus membawa maksud tersirat membersihkan harta dan diri orang kaya daripada sifat bakhil.

Walau bagaimanapun, masih terdapat segelintir umat Islam yang menganggap zakat pendapatan tidak wajib ditunaikan melainkan mereka benar-benar kaya dan berstatus jutawan. Namun kita tidak boleh menyalahkan mereka sepenuhnya kerana faktor luaran perlu diambil kira iaitu kurangnya pendedahan atau lebih tepat kurangnya inisiatif turun padang pihak berkuasa zakat.

Malah lebih teruk lagi ada yang menganggap apabila menunaikan zakat fitrah semasa bulan Ramadan bermakna tanggungjawabnya seba­gai sudah selesai, se­dangkan zakat itu ter­bahagi kepada dua ia­itu zakat pendapatan, se­lain daripada zakat fitrah yang antara lain bertujuan merakamkan penghargaan kerana ma­sih diberikan pe­luang hidup sehingga mampu menyambut Sya­wal. Tanpa takwil, ramai telah melafazkan kalimah syahadat, menunaikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, juga terdapat yang menunaikan haji termasuk berkali-kali membuat umrah tetapi apabila tiba ke bahagian membayar zakat seolah-olah menjadi malas untuk melunaskannya.

Bahasa mudah, bagaimana mungkin sesebuah bangunan itu akan sempurna sekiranya sebahagian struktur utamanya tidak lengkap.

Mengulas mengenai situasi ini, Pengerusi Pusat Pungutan Za­kat Majlis Agama Islam Wilayah Per­sekutuan (PPZ-MAIWP) Datuk Che Mat Che Ali mengakui ter­dapat beberapa kelemahan da­ri­pada pihaknya dalam usaha mendekati kumpulan sasar berkenaan.

“Tidak salah mengakui kelemahan kerana daripada inilah kita mengambil iktibar untuk menjadi lebih baik. PPZ-MAIWP pada masa ini merangka dan melaksanakan pelbagai program bersifat mesra pembayar zakat, sekali gus menunaikan amanah besar yang dipertanggungjawabkan.

“Kami turun padang bagi me­nerangkan mengenai kepentingan ber­zakat termasuk menjalinkan ker­ja­sama dengan pejabat-pejabat kerajaan, swasta, syarikat milik kerajaan, berjumpa dengan pelanggan di pasar malam, pasar tani, pasar ikan,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Antara statistik pro­gram PPZ-MAIWP se­hingga Ok­to­ber lalu ialah ce­ra­mah, taklimat, forum (1,247); temu janji, perbincangan (4,854); kutipan kelom­pok (769), edaran bo­rang, pemotongan ga­ji (32,340); edaran poster, risalah (1,488); publisiti media (112), publisiti masjid dan surau (404) serta kaunter van bergerak (307).

Che Mat menambah, PPZ-MAIWP juga ber­mula pada 2011 melalui skuad mencari asnafnya setiap hari bergerak ke serata tempat di Wilayah Persekutuan berbanding pendekatan sebelum ini yang selesa menunggu asnaf datang mencari mereka.

“Antara 2006 dan 2007 terdapat kira-kira 6,000 asnaf menerima bantuan tetap bulanan tetapi kini meningkat dengan drastik hasil daripada pendekatan itu iaitu terdapat kira-kira 18,200 asnaf yang menerima bantuan. Peningkatan ini membawa maksud tanggungjawab PPZ-MAIWP semakin meningkat, pada masa sama kita juga mengamalkan amalan bukannya memberi ikan semata-mata tetapi menghulurkan pancing bagi membolehkan mereka berdikari dan tidak bergantung kepada bantuan,” katanya.

Dalam pada ramai yang berzakat kepada pihak berkuasa zakat, terdapat juga segelintir yang cuba lari daripada platform yang disediakan apabila membayar sendiri zakat kepada asnaf dengan alasan tindakan itu lebih telus, sekali gus seperti cuba mempertikaikan kredibiliti PPZ- MAIWP secara khususnya.

Che Mat ketika ditanya me­nge­nainya, menjelaskan bahawa mekanisme kutipan dan pengagihan pihaknya bebas daripada kes-kes terlepas pandang dan mampu mengelak berlakunya penipuan.

Jawatankuasanya yang dianggotai oleh mufti, tokoh-tokoh agamawan dan tokoh masyarakat itu amat telus, malah PPZ-MAIWP juga dipantau oleh Jabatan Audit Negara (JAN). Selama lapan tahun berturut-turut pusat berkenaan mendapat sijil bersih daripada JAN dan pada 2012 serta 2013 mendapat penarafan empat bintang iaitu yang tertinggi.

“Dakwaan mengatakan wujudnya kerenah birokrasi dalam PPZ-MAIWP adalah salah kerana kita terpaksa berhati-hati supaya wang zakat yang dibayar oleh orang ramai tidak disia-siakan seterusnya dipersoalkan di akhirat nanti,” jelas beliau.

Tambah Che Mat, PPZ-MAIWP turut mempunyai me­kanisme yang membenarkan pen­zakat membayar sendiri kepada asnaf, iaitu bagi individu yang membayar zakat melebihi RM50,000 sebanyak 25 peratus akan dipulangkan bagi memberi peluang penzakat itu membayar sendiri kepada asnaf.

“Bagi syarikat pula, sebanyak 37.5 peratus dipulangkan. Tujuannya ada­supaya penzakat lebih mes­ra asnaf dan terpulang untuk dibe­rikan kepada mana-mana asnaf yang dihajatkan. Semuanya akan dilaporkan terus kepada PPZ-MAIWP,” katanya.

Jelasnya, terdapat empat perkara memungkinkan PPZ-MAIWP dituduh mengamalkan birokrasi iaitu terdapat asnaf menerima bantuan dan mereka masih lagi memintanya, pemohon tidak layak tetapi tetap menagihnya, bantuan zakat tidak boleh diberikan kepada bukan warganegara dan jika pemohon dari negeri lain mereka dimestikan untuk bermastautin di Wilayah Persekutuan sekurang-kurangnya lebih daripada setahun.

Perkataan zakat mudah disebut tetapi mempunyai signifikan yang besar dan berat, amat berkait rapat dengan sifat amanah. Jika tidak mandi akan busuk, tidak makan akan lapar. Tetapi jika tidak berzakat, sesiapa pun tidak mengetahuinya kecuali Allah sahaja - mengingkarinya bermakna menyanggah hukum Allah. Cukup hebatkah kita sebagai hamba yang amat hina - lahir ke dunia tanpa seurat benang, meninggalkan dunia juga tanpa pakaian melainkan kain kafan, untuk menentang Allah. -Utusan