Waspada Sindiket Kutip Derma Guna Nama Madrasah Di Thailand

SONGKHLA - Masyarakat di Malaysia dinasihatkan supaya tidak mudah tertipu dengan helah sindiket kutip derma yang menggunakan nama madrasah di Thailand.

Mudir Pondok Anak Yatim Santiwit Abdul Rahman Ahmad berkata taktik sedemikian biasanya digunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Pihak madrasah di Thailand ini tidak akan sewenang-wenangnya mengutip derma di pasar-pasar atau di kedai makan di Malaysia... itu hanya penipuan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

"Kalau pihak madrasah nak memohon derma, kami akan buat melalui pejabat agama Islam di Thailand dan Malaysia dan hanya mudir, pengurus atau pemilik madrasah sahaja yang dibenarkan berbuat demikian... tidak melibatkan anak-anak yatim dan individu lain," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Khidmat Komuniti dan Berkhatan Sukarelawan Orang Kuala Berang (OKB) yang berlangsung selama dua hari bermula semalam anjuran Sekretariat OKB.

"Ada yang minta derma untuk baiki madrasah dengan menunjukkan gambar madrasah, minta derma untuk anak yatim dan ada yang mendakwa mereka juga pelajar madrasah yang dihantar untuk mengutip derma... ini semua sememangnya penipuan," kata Abdul Rahman.

Bagi program berkhatan, sebanyak 10 doktor dan pembantu perubatan dibawa dari Terengganu.

Turut menyertai program ialah Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Terengganu Datuk Tengku Putera Tengku Awang, 100 anggota sekretariat dan wakil media. - Bernama