BANYAK kejadian dan musibah yang berlaku akhir-akhir ini mengajak seluruh umat Islam secara khususnya untuk kembali menghayati Islam sebagai cara hidup selain mempraktikkan segala ajaran agama dan menjauhi larangannya.
Musibah sosial seperti jenayah buang bayi, kelakuan remaja dan muda-mudi Islam yang menyimpang daripada nilai akhlak Islam, golongan manusia yang tidak mengenal batasan aurat dan pergaulan, semuanya seakan huru-hara dan fitnah akhir zaman yang sudah tidak dapat dielakkan.
Justeru umat Islam diseru melipatgandakan amal sebagai persediaan bertemu hari kiamat yang pasti kunjung tiba.
Tanda-tanda hampir berlakunya saat menakutkan itu dijelaskan oleh Baginda Nabi SAW dalam beberapa riwayat antaranya daripada Abu Huraira R.A:
“Di antara tanda-tanda telah dekatnya hari kiamat ialah akan muncul pakaian-pakaian wanita dan apabila mereka memakainya keadaannya seperti telanjang”. Pada akhir zaman akan terjadi tanah runtuh, rusuhan dan perubahan pada muka.
Ada yang bertanya kepada Rasulullah “Wahai Rasulullah bila hal itu terjadi?” Baginda menjawab:
“Apabila telah bermaharajalela muzik (bunyi-bunyian) dan ramainya penyanyi-penyanyi wanita” (Riwayat Ibnu Majah). Sesungguhnya antara tanda-tanda kiamat ialah diangkat ilmu, dikekalkan kejahilan, diminum arak serta zahirnya zina. (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Sehubungan itu, umat Islam diajak melakukan pelbagai ibadah bagi meraih keampunan dan reda Ilahi. Malah dengan tempoh masa yang semakin terhad, umur dunia semakin tua, umat Islam diseru bijak beramal agar memperoleh ganjaran berlipat kali ganda.
Misalnya solat fardu lima kali sehari semalam jika dikerjakan secara berjemaah akan diberi ganjaran 27 kali ganda berbanding solat secara bersendirian.
Malah setiap langkah ke masjid dan ke surau akan menggugurkan dosa, menambah pahala dan meningkatnya kedudukan hamba di sisi Allah SWT. Masyarakat Islam juga boleh mengambil kesempatan untuk mempertautkan hubungan silaturahim sesama ahli kariah sehingga berjaya mewujudkan hubungan ukhuwah dan berkasih sayang yang dituntut oleh agama.
Bagi yang sibuk dengan pekerjaan seharian sehingga jarang dapat ke masjid berjemaah bolehlah pula memanfaatkan rezeki kurniaan Ilahi untuk memperhambakan diri kepada Allah SWT. Ini dapat dilakukan dengan banyak menginfakkan harta fisabilillah yang juga tidak kurang kelebihannya.
Dengan cara ini para Muslimin mampu membersihkan hati daripada penyakit bakhil dan tidak suka bersedekah. Malahan ganjaran pahala berlipat kali ganda, nikmat sihat tubuh badan, panjang umur, bertambah keberkatan rezeki dan didoakan oleh penerima sedekah cukup memberi manfaat kepada orang yang bersedekah apabila ikhlas melakukannya.
Tidak terhad di situ kaum Muslimin yang berkemampuan boleh pula mewakafkan harta untuk kepentingan ummah sejagat. Ini kerana ia kekal menjadi amal jariah yang berterusan pahalanya hingga setelah seseorang meninggal dunia.
Hari ini, manfaat wakaf boleh dikembangkan kepada pelbagai lapangan kehidupan seiring dengan keperluan semasa. Ia tidak lagi hanya terhad kepada masjid dan tanah perkuburan semata-mata.
Pelbagai cabang wakaf seperti untuk pendidikan termasuklah menyediakan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan, membina kemudahan sekolah dan institusi pengajian tinggi juga untuk tujuan perubatan, seperti membina bangunan hospital, menyediakan kemudahan rawatan dan perubatan yang murah kalaupun tidak percuma memerlukan sokongan dan keprihatinan masyarakat untuk saling bantu membantu antara satu dan lain.
Semua ini diusahakan, tidak lain sebagai bekalan yang berguna untuk dibawa dalam perjalanan kembali ke alam akhirat yang kekal lagi abadi.
Dalam pada itu usahlah pula terlibat berbuat dosa dan maksiat yang akan mengurangkan nilai dari pada amalan kebaikan yang sudah dikerjakan.
Sebaiknya setiap Muslim sentiasa istiqamah dalam melaksanakan ibadah kerana Allah SWT. Ia hendaklah juga dipertingkatkan kualitinya dari sehari ke sehari.
Ini kerana nilai solat yang sempurna terletak pada khusyuknya sehingga mampu menjadi benteng mencegah perkara keji dan mungkar. Amalan bersedekah pula hendaklah ditambah dan diperbanyakkan sesuai dengan kemampuan kewangan masing-masing. Usah pula ada yang berkira-kira dalam beribadah kerana balasan syurga yang dijanjikan lebih bernilai dari pada dunia dan segala isinya.
Kaum Muslimin turut diseru agar tidak membelakangkan hukum dan peraturan agama yang ditetapkan Allah SWT bagi mengatur kehidupan manusia agar sentiasa di bawah lembayung rahmat dari-Nya.
Segala ketetapan tersebut sesuai untuk diamalkan oleh seluruh umat manusia sepanjang zaman. Malah terdapat pula ancaman daripada Allah SWT bagi golongan yang ingkar hingga setiap Muslimin seharusnya berwaspada dalam setiap gerak geri dan tingkah laku seharian.
Ini seperti mana firman Nya yang bermaksud; “Dan sesiapa yang derhaka kepada Allah dan Rasul Nya dan melampaui batas-batas Syariat Nya, akan dimasukkan oleh Allah ke dalam api Neraka, kekallah dia di dalamnya dan baginya azab seksa yang amat menghina”. (Terjemahan Surah al-Nisa:14)
Dalam hal ini tindakan segelintir masyarakat Islam yang seakan-akan tidak menerima ketentuan Ilahi dengan lelaki berperwatakan seperti wanita dan wanita bergaya seperti lelaki adalah jauh menyimpang dari pada ajaran syariat yang murni.
Usahlah bertepuk tangan, bergembira melakukan perkara yang dilarang agama kerana kelak diri sendiri yang akan menerima padahnya.
MOHD. ALI MUHAMAD DON - *PENULIS ialah Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari, UiTM Kampus Pasir Gudang, Johor.