Wujudkan "Little India" Di Sungai Petani

SUNGAI PETANI - MIC Kedah berharap cadangan untuk mewujudkan 'Little India' di Sungai Petani akan mendapat perhatian dan sokongan daripada kerajaan negeri dan kerajaan pusat.

Pengerusi MIC Negeri, Datuk S. Ganesan berkata 'Little India' sudah wujud di Melaka, Selangor, Pulau Pinang serta Perak, dan kewujudannya di Kedah akan menjadi pengiktirafan terhadap sokongan masyarakat India di negeri ini kepada BN.

"Selepas BN menang dalam pilihan raya umum lepas dan mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, cadangan ini akan menjadi satu pengiktirafan kepada kaum India yang menyokong BN pada pilihan raya umum yang lepas.       

"Saya harap ia akan dipertimbangkan dan dipercepatkan (pelaksanaannya)," katanya kepada Bernama selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Deepavali anjuran MIC Bahagian Sungai Petani di sini hari ini.

Terdahulu, MIC bahagian itu mengemukakan cadangan untuk membangunkan 'Little India' di Jalan Sekerat dekat sini serta menyuarakan cadangan penukaran nama Jalan Sekerat kepada Jalan Kadaram (dalam Bahasa Tamil) yang membawa maksud Kedah.

Kedua-dua cadangan itu telah disampaikan kepada kerajaan negeri.

Pada majlis itu, Ketua MIC Bahagian Sungai Petani, TH Subra menyerahkan dokumen mengenai pembangunan 'Little India' kepada Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Kesihatan Datuk VS Mogan, yang hadir mewakili Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam pada majlis itu.

Mogan berkata saranan mengenai pembangunan 'Little India' di Sungai Petani, akan dibawa ke pengetahuan Dr Subramaniam, yang juga merupakan Timbalan Presiden  MIC. 

Subra pula berkata masyarakat India di negeri ini berharap cadangan itu akan mendapat pertimbangan kerana ia bukan sahaja akan menjadi pusat pelancongan tetapi juga menggalakkan ekonomi masyarakat India. - Bernama